Inisiatif Ini Padang Kita menutup tirainya tahun ini dengan satu mesej yang jelas -- usaha membangunkan bola sepak akar umbi tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja.
Selepas perjalanan yang menyentuh pelbagai komuniti di seluruh negara, Astro Malaysia kini membuka ruang kepada orang ramai untuk turut memainkan peranan dalam membina masa depan bola sepak tempatan.
Advertisement
Kempen ini diwujudkan bagi meraikan akar umbi sukan bola sepak dengan menonjolkan komuniti yang menjadi nadi kepada pembangunan generasi baharu pemain.
Lebih daripada sekadar padang, ia mengangkat simbol kebanggaan, perpaduan dan legasi -- tempat di mana impian mula disemai.
Antara kisah paling menyentuh dalam siri ini melibatkan Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim di Mengkuang Titi, Bukit Mertajam -- lokasi yang cukup signifikan kerana di sinilah bintang kebangsaan itu mula mengenal bola sepak.
Lebih istimewa, kelab ini diasaskan oleh bapanya, Abdul Halim Saad, yang sehingga hari ini masih komited menguruskan pasukan tanpa mengenakan sebarang bayaran, demi memastikan kanak-kanak tempatan terus diberi peluang untuk belajar dan berkembang.
Kepercayaannya cukup jelas -- bahawa setiap anak muda yang diberi ruang dan bimbingan mampu menjadi pemain yang bukan sahaja berbakat, tetapi mampu mengangkat martabat bola sepak negara suatu hari nanti.
Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong komuniti ini, Astro turut menyumbangkan kelengkapan asas seperti bola, beg dan kasut bola kepada para pemain muda, selain menyediakan barangan ‘merchandise’ sebagai simbol sokongan kepada perjalanan mereka.
Pendekatan Ini Padang Kita juga memperluas naratif penceritaan sukan tempatan dengan mengalihkan fokus daripada individu kepada komuniti secara keseluruhan -- mengangkat kisah padang sebagai titik permulaan segala-galanya. Ia bukan sekadar tentang permainan, tetapi tentang harapan, semangat dan kesinambungan legasi.
Kini, dengan kempen ini melabuhkan tirainya untuk tahun ini, mesej yang ingin disampaikan cukup jelas -- Astro telah memainkan peranannya, dan kini giliran masyarakat pula untuk bersama-sama menyokong, membimbing dan memperkasa generasi baharu bola sepak Malaysia.