Debaran dan bahang kehangatan Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters kian menarik apabila empat pemain muncul pencabar mahkota kejuaraan pada hari terakhir esok.
Poom Pattaropong, Matthew Cheung, Adam Coull dan Nicklaus Chiam menamatkan saingan hari ketiga di Kelab Seri Selangor itu dengan status pendahulu bersama selepas merekodkan 204 pukulan, sembilan di bawah par secara keseluruhan.
Advertisement
Namun, tumpuan khusus diberikan terhadap wakil dari Thailand, Pattaropong, yang diuji tahap kesabarannya ekoran kesilapan mudah ketika melakukan putting di lubang kelapan dan 11, secara tidak langsung menjejaskan rentak dan keyakinannya.
Mujur, Pattaropong yang didampingi sosok hebat, iaitu orang lama dalam dunia golf di Thailand yang bertindak sebagai kedinya malah memikul pelbagai aspek dalam permainannya.
Hasilnya, Pattaropong kembali mendapat sentuhannya dalam baki enam lubang, sekali gus menutup cerita hari ketiga dengan catatan 69 pukulan, dua di bawah par.
Pattaropong mendedahkan dia perlu ditenangkan kedi ketika melakukan kesilapan sebelum menjadi korban kepada permainan mental dan ego dalam golf.
"Saya memberi panduan kepadanya dalam setiap pukulan yang kebanyakannya pasal angin.
"(Kehadirannya) dia benar-benar membantu selain meniupkan keyakinan buat saya, malah dalam soal putting.
"Dia ibarat keluarga buat saya dan banyak membantu (prestasi) saya di atas lapangan.
"Kehadirannya memberikan ketenangan dan itulah yang saya perlukan," katanya.