Di sebalik tumpuan memburu pingat dalam penampilan terakhir di Sukan Komanwel Glasgow 2026, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, sempat memainkan peranannya sebagai ‘Duta Malaysia’ apabila mengagihkan pin lapel kepada kanak-kanak di sekitar lokasi penganjuran temasya.
Menerusi video yang dimuatnaik di laman sosial peribadi, Azizulhasni berkongsi keterujaannya melihat kanak-kanak tersenyum gembira menerima pin lapel tersebut, sekaligus mengingatkannya bahawa sukan bukan hanya tentang pingat tetapi apa yang dilakukan hari ini mampu memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Azizulhasni turut mendedahkan ini bukan kali pertama beliau memberikan pin berbentuk bendera Malaysia itu sebelum tibanya hari perlumbaan, malah aktiviti itu merupakan momen kegemarannya setiap kali menyertai sesebuah kejohanan.
Momen yang sudah seperti rutin itu bukan sahaja murni, malah Azizulhasni dilihat secara tidak langsung memperkenalkan Malaysia di kalangan masyarakat setempat dengan lebih rapat, terutama kanak-kanak yang akan membesar dengan memori indah tentang Malaysia dan rakyatnya.
Pelumba berusia 38 tahun itu akan memulakan saingan di Velodrome Sir Chris Hoy pada Sabtu - memburu satu-satunya kejuaraan yang belum pernah dicapai sepanjang kerjaya iaitu pingat emas keirin di Sukan Komanwel. Azizulhasni akan turut bersaing dalam dua lagi acara iaitu pecut individu dan ujian masa 1 kilometer.