Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Md Hanapi, mengakui kesilapan yang dilakukan pasukannya menjadi antara faktor kekalahan 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Kekalahan di laman lawan itu menyaksikan JDT menelan kekalahan pertama dalam kempen ACLE musim ini, namun Arif Aiman tetap melihat beberapa aspek positif daripada persembahan rakan sepasukannya, khususnya pada babak kedua.
Menurutnya, JDT memulakan perlawanan dengan baik, tetapi kesilapan yang dilakukan memberi ruang kepada Jeonbuk untuk menghukum mereka.
“Kami bermain dengan baik di awal permainan, namun kesilapan yang dilakukan menghukum pasukan. Kami menyedari lawan memiliki kualiti serangan menerusi hantaran lintang.
“Saya amat berbangga dengan prestasi rakan sepasukan dalam separuh masa kedua. Kami cuba bermain dengan baik tetapi tidak dapat menjaringkan gol,” katanya.
Arif Aiman turut mengakui beraksi di gelanggang lawan bukan satu tugas mudah, namun menegaskan keputusan itu tidak akan mematahkan semangat Harimau Selatan.
Dia percaya JDT masih mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti daripada perlawanan tersebut, selain kekal positif dengan prestasi keseluruhan pasukan dalam kempen ACLE setakat ini.
“Bermain di tempat lawan, sudah pasti terdapat cabarannya, namun kami tetap positif. Prestasi dalam saingan ACLE buat masa ini amat baik dan saya percaya kami mampu memperbaiki kesilapan daripada perlawanan ini.
“Kami meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat kalah mati. Kami optimis untuk menang dalam perlawanan akan datang,” katanya.