Sejak membuat kemunculan pertama dalam era 90an, empayar perlumbaan YY Pang, yang diasaskan oleh Pang Yok You, menjadi nadi penting kepada kemeriahan Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix.
Pasukan itu merangkul pelbagai gelaran utama selepas lebih tiga dekad berada dalam sukan permotoran dua roda negara.
Sejarah dan legasi itu berterusan daripada bapa kepada anaknya, Gary Pang, yang kini merupakan Penyelaras Pasukan Motul Yamaha YY Pang.
"Kami bersyukur kerana pasukan YY Pang sudah berada dalam perlumbaan selama lebih 30 tahun," kata Gary kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Kami sudah melalui banyak era perlumbaan, dari dua lejang ke empat lejang, dari karburetor kepada pancuran bahan api.
"Kami bukan sahaja mahu kekal bersaing dalam dunia permotoran tetapi mahu mengumpulkan pengalaman bagi memberikan manfaat kepada pengguna motosikal daripada segi produk dan sebagainya.
"Pasukan ini diasaskan oleh bapa saya, yang lebih dikenali sebagai Sifu atau YY Pang di litar.
"Kini, kami sebagai generasi kedua, meneruskan legasinya, bukan sahaja daripada segi pasukan perlumbaan, malah YY Pang sudah menjadi jenama tempatan yang menghasilkan produk motosikal dan sudah berkembang ke negara Asia Tenggara lain dan Eropah.
"Kami mengumpulkan banyak pengalaman di litar dan berharap dapat memberikan manfaat kepada pengguna dengan produk yang berkualiti dan berprestasi tinggi."