Ia bukanlah pertaruhan yang membabitkan jumlah wang yang besar, malah hanya dilakukan secara santai atau rekreasi tetapi salah tetap salah dan pemain golf Amerika Syarikat, Matt Gogel, akur berdepan hukuman penggantungan selama enam bulan.
Perkara tersebut didedahkan PGA Tour yang mengesahkan Gogel melakukan ‘small recreational wager’ dalam satu kejohanan yang tidak didedahkan, namun pertaruhan tersebut jelas tidak membabitkan saingan liga PGA Tour Champions yang disertai pemain berusia 55 tahun itu.
Walaupun dilakukan tanpa sedar pada sekitar 2024 dan 2025, perbuatan tersebut tetap disahkan melanggar polisi PGA Tour dan perlu berdepan tindakan tegas.
Gogel kini hanya berharap untuk kembali beraksi di kejohanan yang menghimpunkan pemain profesional berusia 50 tahun ke atas itu pada 2027, selepas konsisten untuk tamat dalam kelompok 10 terbaik daripada 18 kejohanan PGA Tour Champions musim ini.
Beliau turut memiliki rekod kemenangan memberansangkan dengan mengumpul lebih AS$760,000 wang kemenangan daripada kejohanan Champions dan Pebble Beach National Pro-Am yang disertainya.
Penggantungan Gogel berkuat kuasa pada 23 Ogos lalu dan berlangsung sehingga 22 Februari 2027.