Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada mana-mana penyokong yang cuba mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau menjelang aksi final Piala Malaysia 2025/2026 antara Johor Darul Ta'zim FC dan Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 30,000 hingga 40,000 penyokong dijangka membanjiri stadium bagi menyaksikan perlawanan yang dijadual berlangsung pada jam 9 malam.
Semua pintu masuk stadium akan dibuka seawal jam 5 petang, tertakluk kepada arahan semasa serta keadaan cuaca pada hari perlawanan.
Menurut kenyataan itu, PDRM sudah melakukan persiapan rapi dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan bagi memastikan aspek keselamatan serta ketenteraman awam berada pada tahap terbaik sepanjang aksi final berlangsung.
“Pemeriksaan tubuh badan dan barangan akan dilakukan oleh petugas marshall di setiap pintu masuk stadium sebagai langkah keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Antara barangan yang dilarang dibawa masuk ke stadium termasuk mercun, bunga api, suar, senjata tajam, laser, minuman keras, payung, powerbank, botol air, rokok elektronik, drone, pembesar suara, wisel, air horn dan kipas tangan elektronik.
Selain itu, gendang hanya dibenarkan dengan kebenaran pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam masa sama, orang ramai turut dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke stadium bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Bukit Jalil.
PDRM juga menggesa penyokong supaya mematuhi arahan pegawai dan anggota bertugas selain mengamalkan sikap sabar, berhemah serta bertolak ansur sepanjang menyaksikan perlawanan.
“Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap mana-mana kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas,” katanya.
PDRM turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan rusuhan, kekacauan atau provokasi sama ada ketika perlawanan berlangsung mahupun selepas tamat aksi final berkenaan.