Skip to main content

Bola Sepak

'Dalam satu keluarga yang ada 5 orang anak, bukan semua bijak pandai'

AFC

Ia cadangan yang dialu-alukan.

Demikian kata Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, seiring dengan cadangan semua pemegang taruh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu duduk semeja seperti yang disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Advertisement

Jika ia demi kepentingan bola sepak domestik, semua pasukan perlu menerima cadangan tersebut daripada sekadar melihat Liga Malaysia (Liga-M) semakin tenat.

Bagi Windsor, pendekatan itu sewajarnya mendapat perhatian penuh semua pihak, melihat kepada keadaan semasa merujuk beberapa pasukan besar yang tiada lagi dalam peta Liga-M kerana isu kewangan yang meruncing dan mampu memberi komitmen dalam saingan.

Ia, berlaku saban tahun sejak kebelakangan ini dan tindakan drastik perlu ada sebagai usaha untuk menyelamatkan arena tempatan.

Windsor menggesa agar masalah utama yang menyelubungi liga negara ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum membincangkan isu lain.

"Maklum balas daripada setiap pemegang taruh adalah sesuatu yang perlu digalakkan.

"Dalam konteks sekaran ini, jika ada cadangan untuk memperbaiki keadaan Liga-M, ia seharusnya dialu-alukan.

"Paling penting, pihak berkepentingan harus membuat satu analisis mencari apakah masalah sebenar sebelum mengutarakan cadangan.

"Suara-suara untuk memanggil semua duduk semeja berbincang adalah langkah perkembangan yang baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Bagaimanapun, Windsor tidak bersetuju seandainya berlaku pengunduran dalam tindak tanduk di peringkat domestik.

Merujuk kepada cadangan untuk menyelaraskan penggunaan bajet -- ia dianggap tidak relevan memandangkan sasaran pasukan dalam setiap liga adalah berbeza, selain kembali ke Liga Semi-Pro dianggap sebagai langkah pengunduran yang tidak wajar.

"Kita harus juga faham bahawa setiap kelab mempunyai visi masing-masing.

"Dalam satu keluarga yang ada lima orang anak, bukan semua bijak pandai.

"Tapi ada yang terlalu cerdik. Ada yang kurang cerdik dan harus hantar pergi ke tuisyen.

"Ia, bergantung kepada visi kelab masing-masing.

"Ada yang sekadar bertanding dalam liga tempatan sahaja.

"Ada yang ingin menang kejuaraan.

"Ada setengah kelab ingin menang semua. Ada yang ingin menang satu sahaja. Semua berbeza.

"Semua mempunyai kewangan masing-masing.

"Jika kita ingin mencari titik persamaan sangat sukar kerana semua berbeza," katanya lagi.
 

Must Watch Video