Juara pusingan pertama kategori CP125, Md Idlan Haqimi Raduan, memasang azam besar bergelar juara keseluruhan Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix musim ini selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dalam edisi lalu.
Pelumba Zynergys Honda KC Racing Team itu mencuri tumpuan dalam pusingan pertama di Tangkak, bulan lalu, dengan catatan masa 10:2.845 saat, sekali gus memberi bayangan awal dia kini sedia memberi cabaran dalam perebutan gelaran musim ini.
Idlan Haqimi menyasar untuk meneruskan momentum kemenangan itu dalam pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang Utara minggu ini demi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam perebutan gelaran, pada Ahad ini.
Menurutnya, keselesaannya bersama pasukan ketika ini menjadi faktor utama peningkatan prestasi, selain yakin mampu tampil lebih konsisten dalam saingan musim ini.
"Litar di Sepang agak mencabar kerana treknya besar.
Saya tidak dapat jangka apa yang boleh terjadi. Sesiapa pun boleh mencabar kejuaraan tanpa mengira kedudukan permulaannya.
"Saya cuba kekalkan kedudukan untuk dapatkan mata buat pasukan," katanya.