Status beregu nombor satu dunia masih menjadi tanda tanya.
Terdahulu, laporan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, memaklumkan naib juara Kejohanan Badminton Dunia BWF 2026, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dilaporkan akan kembali menjadi ‘scratch pair’ menjelang Kejohanan Badminton Masters China 2026 yang dijadualkan akan bermula 1 September nanti.
"Menurut jurulatih, Herry Iman Pierngadi: Aaron Chia partner Man Wei Chong- Soh Wooi Yik partner Aaron Tai," katanya.
Perkembangan itu terus mendapat perhatian media termasuk peminat badminton negara terhadap persoalan tersebut.
Malah, hantaran terkini di Instagram Soh Wooi Yik mencuri tumpuan susulan memuat naik gambar bersama gandingannya dengan warna hitam putih sambil menggunakan lagu 'All For You' seperti memberi petanda sesuatu.
Aaron Chia dalam satu kenyataan berkata: "Kami sudah lama bermain bersama, sudah pasti keserasian itu tidak hilang."
Bagaimanapun, Aaron menegaskan kemunculan semula bersama Wooi Yik bukan petanda gandingan itu akan dikekalkan secara kekal.
Sebaliknya, ia dianggap sebagai satu bentuk ‘come back’ yang mampu memberikan impak positif berdasarkan keperluan semasa, dengan perancangan selepas ini masih tertakluk kepada keputusan barisan kejurulatihan.
Aaron juga tidak menganggap sekiranya gandingan bersama Wooi Yik diteruskan, ia semestinya pilihan terbaik buat dirinya atau badminton negara.
Dia menghormati sebarang keputusan yang dibuat pasukan kejurulatihan kerana objektif utama adalah menyediakan lebih banyak pilihan kompetitif untuk Malaysia mencabar podium dalam kejohanan berprestij.