Kehangatan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2026 turut dimeriahkan dengan kempen penunggang Malaysia (MyRider) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat umum terutama pekerja ekonomi gig yang menjadikan jalan raya sebagai tempat mencari rezeki setiap hari.
Pemilihan platform Petronas MAM Malaysian Cub Prix itu dilihat tepat apabila ia berjaya menghimpunkan komuniti peminat motosikal dari seluruh negara, sekali gus menjadi medium terbaik untuk menyampaikan mesej keselamatan secara lebih dekat, santai dan berkesan.
Langkah itu juga dilihat cukup signifikan melihat kepada pengguna jalan raya paling berisiko dengan kadar kematian melibatkan golongan itu mencecah 65 peratus daripada keseluruhan hampir 7000 kes kematian jalan raya dicatat tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, penganjuran kempen MyRider itu merangkumi empat strategi utama iaitu sedar dan cakna -- amal dan bertindak -- bangga menjadi MyRider, serta sama-sama melindungi.
"Kempen bersama PDRM bukan perkara baru, kami telah laksanakan sejak bertahun-tahun tetapi kami ubah pendekatan tahun ini dan jenamakan sebagai MyRider, berkhemah dan bermaruah.
"Jika kempen ini dilaksanakan di seluruh peringkat negeri dan daerah, kami akan bekerjasama dengan PDRM bagi pastikan perkara ini sampai ke penunggang akar umbi.
"Kempen semata-mata tanpa ada perubahan sikap tidak kemana-mana." katanya.