Menjelang perlawanan minggu terakhir saingan peringkat kumpulan Liga Hoki Malaysia 2026, skuad Maybank kini dalam persiapan untuk bangkit daripada kekalahan menentang TNB Thunderstar tempoh hari.
Berbaki tiga perlawanan saingan kumpulan, fokus Maybank kini terarah kepada TNB Thunderbolts yang akan menjadi lawan mereka esok.
Ketua jurulatih Maybank, Iman Gobinathan, berkongsikan bahawa mereka telah belajar daripada kekalahan ke atas Thunderstar sebelum ini.
"Kami baru mula semula selepas tiga minggu, ia bukan mudah. Pemain kebangsaan juga baru pulang, saya perlu buat banyak pertukaran.
"Untuk berdepan Thunderbolts, 15 ke 16 pemain bersama skuad remaja dan konsisten beraksi, jadi kami perlu berwaspada." katanya.
Sementara itu, kapten Maybank, Najmi Farizal Jazlan, menegaskan, selepas kekalahan ke atas Thunderstar, dia meletakkan harapan untuknya dan rakan sepasukan dapat kembalikan momentum kemenangan meskipun baru menempuhi tempoh rehat panjang.
"Kami sudah berehat tiga minggu, kami bersedia untuk aksi kali ini. Kami akan bangkit dan raih tiga mata." katanya.