Skip to main content

Berita Sukan Am

Combatchamps 2026 cetus polemik status pengiktirafan PTM

Combatchamps 2026 cetus polemik status pengiktirafan PTM

Kejohanan sukan tempur, Combatchamps 2026, mencetuskan perhatian apabila difahamkan tidak menerima pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Tinju Malaysia (PTM).

Menurut sumber, PTM menganggap surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Persatuan Tinju Selangor tidak sah kerana semua permohonan berkaitan penganjuran kejohanan tinju perlu dikemukakan terus kepada badan induk kebangsaan itu.

Malah, proses permohonan juga difahamkan perlu dibuat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh kejohanan berlangsung bagi membolehkan penilaian serta kelulusan rasmi diberikan.

Situasi itu mencetuskan persoalan memandangkan Combatchamps 2026 yang kini memasuki edisi kedua bukan sahaja melibatkan disiplin seperti jiu-jitsu, judo, muay thai dan gusti, malah turut membabitkan acara tinju.

Apa yang lebih menarik perhatian, kejohanan tersebut menerima kehadiran Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari selain memperoleh Geran Padanan Sukan daripada kerajaan berjumlah RM185,000.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM150,000 yang diterima pada edisi terdahulu.

Perkembangan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati sukan tempur mengenai proses kelulusan dan penyelarasan antara pihak penganjur dengan badan induk berkaitan.

Dalam masa sama, Kementerian Belia dan Sukan tetap melihat sukan tempur sebagai medium positif dalam pembangunan belia serta pembentukan disiplin generasi muda.

Combatchamps 2026 berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk wakil dari Singapore dan Indonesia.

Kehadiran peserta antarabangsa itu sekali gus memperlihatkan potensi kejohanan berkenaan untuk berkembang sebagai platform kompetitif serantau pada masa akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gusti Malaysia, Azlan Iskandar, turut menyuarakan pandangan mengenai kepentingan pembangunan sukan tempur yang lebih tersusun menerusi kerjasama erat antara penganjur dan badan induk.

Polemik yang tercetus ini dilihat membuka ruang kepada keperluan penyelarasan lebih jelas antara persatuan kebangsaan, pihak penganjur dan agensi kerajaan bagi memastikan setiap kejohanan dapat dijalankan mengikut garis panduan serta piawaian yang ditetapkan.

Walaupun berdepan isu pengiktirafan, Combatchamps 2026 tetap berjaya menarik perhatian komuniti sukan tempur tempatan dan antarabangsa menerusi skala penyertaan yang besar serta sokongan pelbagai pihak.

Related Topics

Must Watch Video