Selangor Pistons memasang cita-cita besar untuk baki tiga Grand Prix (GP) CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Premier musim ini dengan sasaran sekurang-kurangnya melangkah ke peringkat separuh akhir.
Pengurus pasukan, Syahril Rashid menegaskan sasaran itu menjadi keutamaan menjelang saingan yang akan bersambung di Negeri Sembilan pada 9 Disember ini, terutama selepas pasukan membuat penambahbaikan menerusi kemasukan bekas perejam kebangsaan, Khairol Zaman.
Menurut Syahril, pengalaman serta kualiti yang dimiliki Khairol diyakini mampu memberikan dimensi baharu kepada jentera serangan Selangor Pistons dalam usaha memburu kemenangan pada baki saingan.
“Khairol Zaman dipilih menyertai Selangor Pistons untuk baki musim ini. Saya percaya pengalaman serta prestasinya mampu membantu pasukan.
“Saya turut mengingatkan pemain supaya meningkatkan corak serangan, selain mencari rentak permainan yang lebih konsisten bagi memastikan pasukan mampu meraih kemenangan,” katanya.
Bagi Khairol, peluang kembali beraksi dalam STL Premier bersama pasukan lamanya adalah tawaran yang cukup bermakna dan sukar untuk dilepaskan.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 dan 2017 bersama regu kebangsaan itu kini bersedia menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk membantu Selangor Pistons mengharungi cabaran daripada pencabar seperti Perak Bison dan Melaka Titans.
Khairol turut menyuarakan tekad untuk memberikan sumbangan terbaik bagi memastikan pasukan mampu melangkah lebih jauh dalam baki tiga GP musim ini.
“Saya mahu melakukan yang terbaik untuk Selangor Pistons supaya kami dapat mara jauh. Kepada penyokong, kami mengharapkan doa dan sokongan anda untuk memastikan pasukan terus cemerlang serta mencapai sasaran dalam tiga GP terakhir,” katanya.