Mexico bakal menguji kekuatan mereka menjelang Piala Dunia 2026 dengan dua aksi persahabatan berprofil tinggi, bermula dengan pertembungan bersama Portugal pada 28 Mac bagi meraikan pembukaan semula Stadium Azteca — yang kini tampil dengan nama baharu, Stadium Mexico City, selepas menjalani proses naik taraf besar-besaran.
Tiga hari kemudian, skuad El Tri akan berpindah ke Soldier Field, Chicago untuk berdepan Belgium, melengkapkan dua siri perlawanan pemanas badan yang diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Mexico.
Advertisement
Naik taraf Stadium Mexico City merangkumi pemasangan tempat duduk baharu, ruang hospitaliti yang dipertingkatkan serta fasiliti media moden. Dengan wajah baharu itu, stadium kebangsaan Mexico kini mencipta sejarah sebagai venue pertama di dunia yang bakal menganjurkan perlawanan Piala Dunia dalam tiga edisi berlainan — selepas menjadi tuan rumah pada 1970 dan 1986.
Antara fakta menarik, Stadium Azteca pernah menyaksikan dua detik paling ikonik dalam sejarah bola sepak — gol “Hand of God” dan gol 'solo run' Diego Maradona pada Piala Dunia 1986.
Untuk edisi 2026, venue bersejarah ini dijadualkan menjadi tuan rumah lima perlawanan, termasuk aksi peringkat kumpulan. Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada juga akan mencatat sejarah sebagai kejohanan terbesar dengan penyertaan 48 pasukan, bermula 11 Jun 2026.
