Dua gol Bergson da Silva membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan DPMM FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini, sekali gus meneruskan rentak kemenangan skuad Harimau Selatan.
Kemenangan keempat berturut-turut itu membolehkan JDT terus berada di persada liga, dengan skuad kendalian Xisco Munoz sekali lagi menunjukkan ketajaman dan dominasi mereka di laman sendiri.
Bergson membuka tirai jaringan pada minit ke-36 selepas memanfaatkan peluang dalam situasi yang pada awalnya mencetuskan persoalan ofsaid.
Bagaimanapun, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil S Logeswaran mengesahkan jaringan berkenaan untuk memberikan JDT pendahuluan 1-0.
Tidak sampai empat minit kemudian, Bergson sekali lagi menghukum pertahanan DPMM apabila menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi dengan rembatan kencang untuk menggandakan kelebihan tuan rumah.
Penyerang prolifik itu hampir melengkapkan hatrik pada penghujung babak pertama, namun jaringan berkenaan tidak dikira selepas semakan VAR mendapati Jonathan Silva berada dalam kedudukan ofsaid ketika melakukan hantaran.
DPMM terus berdepan tekanan selepas rehat apabila JDT tidak mengendurkan asakan.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-77 apabila Stoichkov melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti selepas menerima bola tandukan ke belakang daripada pemain gantian Corbin Ong.
DPMM mempunyai peluang untuk merapatkan jurang, namun percubaan Miguel Oliveira selepas menerima lorongan Nurikhwan Othman gagal menemui sasaran.
JDT akhirnya menutup malam mereka dengan kemenangan 3-0, sekali gus mengekalkan momentum sempurna dalam empat perlawanan terakhir liga.
Bagi JDT, kemenangan itu bukan sekadar tiga mata, sebaliknya satu lagi amaran kepada pencabar bahawa Harimau Selatan masih belum mahu melepaskan cengkaman mereka di puncak Liga Super.