Olimpian berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menyeru agar perhatian yang diberikan kepada sukan berbasikal trek dipandang sama tinggi dengan sukan badminton.
Jelasnya, Malaysia mempunyai fasiliti terbaik tetapi ruang perlu diberikan secara seimbang, bukan sahaja kepada pelumba kebangsaan, bahkan pelumba dari kelab-kelab juga harus diberikan peluang menggunakannya.
Advertisement
"Seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, sukan berbasikal ini sepatutnya sudah seperti sukan badminton," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Kita sepatutnya sudah memiliki banyak kelab seperti di Asutralia dan Eropah, yang bukan sahaja memiliki pelumba kompetitif, tetapi juga pengguna basikal secara kasual.
"Kita sepatutnya sudah memilikinya sejak dulu lagi tetapi kita masih terkebelakang.
"Trek di Velodrom Nasional Nilai ini kebanyakannya hanya digunakan oleh atlet nasional, tiada kelab tempatan atau pelumba amatur.
"Kita ada fasiliti yang baik tetapi kita tidak memanfaatkan sepenuhnya.
"Atlet kebangsaan tidak ramai, jadi bagaimana kita nak cari juara seterusnya.
"Kita perlu ada kesinambungannya dan daripada itulah kita akan mendapatkannya.
"Mereka berkayuh dan mula berlumba, dan dari situ jurulatih dapat melihat mereka."