Laungan cabaran buat pelumba berbasikal trek (endurance) negara, Yeong Zhen Yi, untuk membuat catatan di bawah 5 minit dalam acara 4 kilometer (km) wanita elit individual pursuit dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Menurut jurulatih berbasikal trek (endurance) negara, Fairoz Izni Abd Ghani, Zhen Yi yang sedang menjalani latihan altitud tinggi yang kini memasuki hari keenam di Kunming, China menunjukkan perkembangan positif dari segi prestasi.
Advertisement
“Kalau ikutkan data, apa yang Zhen Yi buat sebelum ini, pusingan pedal per minit (RPM) dia adalah 105. Jadi tadi kami ambil 104.8, sudah tidak jauh beza,” katanya.
Dia menyifatkan fokus utama latihan ketika ini adalah untuk meningkatkan kadar RPM sebelum memberi tumpuan kepada catatan masa.
“Berbanding trek di sini yang merupakan trek terbuka, setakat ini kita berada di landasan yang tepat dan mampu capai sasaran kami sekurang-kurangnya untuk capai podium,” katanya lagi.
Fairoz juga memaklumkan strategi kelayakan juga memainkan peranan penting untuk memudahkan laluan Zhen Yi ke final.
“Untuk mencapai sasaran itu, Zhen Yi perlu buat lebih baik lagi.
"Dalam pusingan kelayakan dia perlu dapat sekurang-kurangnya tempat kedua supaya laluan ke peringkat akhir lebih mudah,” jelasnya.
Fairoz turut berharap latihan yang dijalani mampu memberi penambahbaikan dari segi taktikal dan teknikal dalam tempoh terdekat.
Zhen Yi juga dilihat mampu mencipta sejarah baru apabila berjaya memecah kebuntuan 17 tahun dengan menghadiahkan pingat gangsa kepada Malaysia dalam acara sama pada ACC tahun lalu.
Kini, tumpuan utama pasukan adalah untuk meningkatkan lagi prestasi bagi memburu kilauan pingat yang lebih baik pada edisi tahun ini.
ACC kali ini dijadual berlangsung di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac, di mana bakal menjadi pentas terbaik buat Zhen Yi untuk menukar warna pingat yang dirangkulnya sebelum ini.