Kuala Lumpur City dikejutkan DPMM apabila tewas 0-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2026-27 di Cheras malam tadi meskipun pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.
Ketua jurulatih The City Boys, Datuk Dollah Salleh, akui kegagalan pasukannya memanfaatkan kelebihan itu, yang menyaksikan hasrat kemaraan mereka ke separuh akhir disekat dengan kekalahan agregat 3-4.
"Benteng pertahanan DPMM terlalu kebal."
Itu hakikat yang terpaksa diterima KL City apabila usaha mencari gol penyamaan terus menemui jalan buntu meskipun telah mengubah taktikal permainan.
Dollah berpendapat anak buahnya sepatutnya lebih berani mengambil risiko dengan menolak lebih ramai pemain ke depan biarpun berdepan ancaman serangan balas.
"Kami semua sedar DPMM akan berkumpulan terlalu ramai di depan gawang, jadi kami perlu mencipta sesuatu dengan meletakkan ramai pemain dalam kotak penalti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Saya sudah katakan kepada mereka, jangan takut dan jangan risau dengan gol serangan balas kerana kami hendak menjaringkan gol dan masa sudah terlalu singkat.
"Ada percubaan yang kami lakukan tetapi masih buntu untuk menjaringkan gol."