Skip to main content

Sukan SEA

B10 wajar diperkasa semula: Apa Malaysia boleh belajar dari ledakan Puripol Boonson?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Puripol

Kebangkitan atlet pecut muda Thailand, Puripol Boonson, perlu menjadi pencetus refleksi nasional terhadap arah tuju pembangunan atlet di Malaysia, khususnya di peringkat pengajian tinggi melalui program B10. Ketika Puripol, pada usia 19 tahun, sudah mencatat masa bawah 10 saat dan mencuri tumpuan dunia olahraga, Malaysia masih mencari formula terbaik untuk melahirkan generasi atlet elit yang mampu bersaing di Asia dan pentas global. Perbandingan Malaysia–Thailand tidak bertujuan mengkritik, tetapi untuk mengemukakan pandangan strategik berdasarkan bukti dan pencapaian nyata di lapangan.

Kejayaan Puripol bukan kebetulan. Ia adalah hasil daripada sistem pembangunan atlet yang bermula awal dan bersifat agresif. Thailand telah mengesan bakatnya antara usia 14 hingga 15 tahun menerusi jaringan sekolah dan daerah yang aktif. Dari peringkat remaja lagi, beliau sudah diberikan pendedahan antarabangsa secara sistematik melalui kejohanan Asia, World U20 dan siri kejohanan Eropah. Pada masa yang sama, Sports Authority of Thailand (SAT) dan National Sports Development Fund (NSDF) menyediakan sokongan kewangan yang konsisten dan berjangka panjang, membolehkan pelari muda ini menjalani latihan intensif tanpa gangguan. Keseragaman antara pihak kerajaan, persatuan olahraga dan institusi pembangunan atlet mewujudkan laluan yang kukuh dan tersusun.

Advertisement

Malaysia pula mempunyai program B10 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), satu inisiatif yang mempunyai visi jelas untuk menjadikan IPT sebagai tapak melahirkan atlet elit negara. Walau bagaimanapun, program ini berdepan beberapa kekangan struktur. Pertama, B10 hanya bermula setelah atlet memasuki universiti, sedangkan dalam sukan pecut, umur 18 hingga 20 tahun sudah berada dalam fasa prestasi matang. Kedua, dana B10 bergantung kepada bajet tahunan, menyebabkan kesinambungan dan perancangan jangka panjang terhad. Ketiga, ekosistem bakat masih bergerak dalam silo — sekolah di bawah KPM, IPT di bawah KPT dan prestasi tinggi di bawah KBS — tanpa laluan yang benar-benar selari.

Satu lagi perbezaan ketara ialah tahap pendedahan antarabangsa. Puripol berkembang kerana beliau didedahkan dengan pertandingan bertaraf tinggi sejak usia remaja. Ia membentuk mentaliti kompetitif dan membiasakan tubuhnya dengan standard antarabangsa. Bagi atlet B10, pendedahan seperti ini masih belum menjadi keutamaan atau kewajiban, menyebabkan jurang pengalaman yang besar. Jika Malaysia ingin meletakkan atlet IPT sebagai pesaing Asia, penyertaan dalam kejohanan luar negara harus dijadikan sebahagian daripada struktur pembangunan, bukan sekadar bonus.

Dalam konteks IPT, Malaysia sebenarnya memiliki aset besar yang belum dimaksimumkan. Universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, UiTM Shah Alam, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris mempunyai kepakaran tersendiri dalam bidang sains sukan, fisiologi, biomekanik, analitik prestasi, kecergasan dan psikologi sukan. IPT-IPT ini juga mempunyai makmal prestasi tinggi dan fasiliti latihan atlet yang setanding dengan universiti terbaik di Asia. Untuk memastikan keberkesanan program B10, kerjasama formal dan berskala besar antara IPT ini perlu diwujudkan bukan lagi secara ad hoc, tetapi disatukan menerusi rangkaian pusat kecemerlangan yang mempunyai mandat jelas dalam pembangunan atlet kebangsaan.

Kerjasama IPT ini penting kerana pembangunan atlet bukan lagi bergantung kepada latihan semata-mata, tetapi memerlukan integrasi pelbagai kepakaran seperti nutrisi, kecederaan sukan, pengurusan beban latihan, talent analytics dan sokongan psikologi. Di Thailand, jaringan sokongan Puripol sangat rapi kerana kepakaran teknikal bergerak selari dengan visi prestasi. Malaysia mempunyai jauh lebih ramai pakar akademik dalam bidang sukan, namun belum digabungkan sepenuhnya dalam struktur pembangunan B10.

Bezanya, Thailand berjaya menjadikan Puripol sebagai ikon nasional sejak muda. Media memberi perhatian besar kepadanya, mewujudkan motivasi sosial yang kuat dan menarik sokongan sektor korporat. Malaysia pula belum mengangkat atlet IPT sebagai naratif kebangsaan. Jika B10 ingin memberi impak, atlet perlu diberikan identiti, cerita dan platform agar masyarakat melihat mereka sebagai “aset negara”, bukan sekadar pelajar yang aktif bersukan.

Melihat kepada semua perbandingan ini, jelas bahawa Malaysia tidak kekurangan bakat atau kepakaran. Kita mempunyai sumber manusia, infrastruktur dan kekuatan akademik yang kukuh. Apa yang diperlukan sekarang ialah penstrukturan semula sistem pembangunan atlet di bawah B10, supaya ia lebih tersusun, lebih awal bermula, lebih konsisten dari segi pembiayaan, serta lebih terintegrasi merentasi KPM, KPT dan KBS. Penstrukturan ini perlu meliputi pembentukan pipeline bakat dari sekolah hingga universiti, kewujudan dana prestasi tinggi berjangka panjang, pendedahan antarabangsa sebagai komponen wajib, serta kolaborasi IPT yang formal dan strategik.

Kejayaan Puripol membuktikan bahawa negara Asia Tenggara mampu melahirkan bintang dunia jika sistemnya tepat. Malaysia berada di landasan yang betul, namun potensi sebenar hanya dapat direalisasikan apabila program seperti B10 distrukturkan semula menjadi ekosistem yang holistik dan tahan lama. Dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan visioner, Malaysia bukan sahaja mampu mengejar Thailand, tetapi juga mampu melahirkan generasi atlet IPT yang setanding di pentas Asia dan dunia.

Dr Mohd Firdaus Bin Abdullah
Timbalan Dekan Pembangunan
Fakulti Sukan dan Sains Eksesais
Universiti Malaya

Must Watch Video