Gandingan Astro Arena, Hanif Miswan dan Fathy Azlan, berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Pickleball Media Bank Rakyat 2026 yang berlangsung di The Hood, Chow Kit, semalam .
Beraksi dalam kategori terbuka, Astro Arena mempamerkan prestasi konsisten sejak peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan sebagai pasukan teratas hasil kemenangan ke atas New Straits Times 13-1, TV9 13-6 dan Berita Harian 3 13-2.
Advertisement
Rentak cemerlang itu diteruskan di peringkat kalah mati apabila Astro Arena menewaskan Refleks 13-4 pada pusingan 16 terakhir sebelum mengatasi kelab Media Prima 15-8 di suku akhir.
Dalam separuh akhir, gandingan ini menundukkan stesyen radio, HOT FM 1 21-13 untuk melangkah ke perlawanan akhir, sebelum menutup tirai kejohanan dengan kemenangan dramatik 21-20 ke atas TV3 2.
Kejayaan tersebut menyaksikan kali kedua berturut-turut Hanif dan Fathy dinobatkan sebagai juara, selari dengan pencapaian mereka pada penyertaan sebelumnya, sekali gus mengukuhkan status Astro Arena sebagai antara gandingan paling konsisten dalam kejohanan media.
Kejohanan anjuran Bank Rakyat itu menghimpunkan 64 peserta daripada pelbagai organisasi media arus perdana, penyiaran dan digital, dengan objektif memperkukuh hubungan strategik bersama rakan media serta mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal industri.