Skuad bola jaring B18 Malaysia sudah bersedia untuk memulakan kempen mempertahankan pingat emas di Sukan Sekolah Sekolah ASEAN (ASG) 2025 yang berlangsung di Brunei dari 20 hingga 28 November.
Malaysia yang merupakan pemenang pingat emas pada edisi terakhir bola jaring dipertandingkan iaitu ASG 2018, dijangka tiada masalah untuk langkah kanan aksi pembukaan menentang Filipina pada petang Ahad.
Advertisement
Acara bola jaring turut disertai pasukan tuan rumah, Brunei dan Thailand, dengan masing-masing akan menjadi seteru Malaysia pada Isnin dan Selasa.
Menanti pada Rabu, musuh tradisi, Singapura yang pastinya kembali ke temasya ini dengan misi balas dendam selepas 7 tahun, menjadi tugasan paling getir buat Malaysia pada kempen kali ini.
Skuad yang dikendalikan ketua jurulatih, Puah Pei San akan diketuai kapten, Anis Syazwina Aszrulazemi serta diperkuat oleh penyerang meningkat naik, Nur Izzazrin Aizie Ahmad Yani dan Nur Zahirah Dahliah Mohd Zaeddie.
Untuk rekod, Malaysia menewaskan Singapura 47-26 pada final ASG 2018 yang berlangsung di Dewan SUK Shah Alam, Selangor, dimana ia merupakan kali keempat bola jaring dipertandingkan di ASG selepas edisi 2010 (Kuala Lumpur), 2011 (Singapura) dan 2015 (Bandar Seri Begawan).