Tatkala menerima berita daripada doktor bahawa anaknya mengalami kecacatan fizikal pada kaki kiri, dunia seorang ibu seakan terhenti.
Sukar untuk menerima kenyataan bahawa bayinya kelak akan membesar sebagai pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), namun perjalanan hidup yang telah tertulis itu memaksa dia untuk belajar berdamai dengan takdir.
Advertisement
17 tahun kemudian, anak yang sama berdiri megah menggegarkan pentas Sukan Para ASEAN sebagai debutan pecut negara.
Atlet muda negara, Ivan Jovic, mencuri tumpuan apabila menyapu bersih tiga pingat emas acara olahraga, termasuk memecahkan rekod temasya bagi acara 200 meter T44, sekali gus membuktikan kemampuan luar biasa dalam penampilan sulungnya di temasya berprestij itu.
Lebih membanggakan, Ivan berjaya menewaskan rakan senegara yang juga atlet paralimpik berpengalaman, Eddy Bernard, dalam laluannya meraih ketiga-tiga emas berkenaan.
“Pada mulanya saya memang tak boleh terima apabila doktor beritahu Ivan pemegang kad OKU," katanya kepada wartawan, Husna Zainudin.
"Saya persoalkan apa yang berlaku, tapi hari ini dia buktikan yang dia juga boleh berlari,” luah Puan Josephen Maria, ibu kepada Ivan.
Dia turut menekankan kepentingan nilai rendah diri dan disiplin dalam kehidupan anaknya agar kejayaan tidak menjadi punca kejatuhan.
“Untuk jadi seperti sekarang, jangan terlalu leka.
"Kena sentiasa merendah diri dan jangan terlalu kejar populariti kerana nanti akan ‘tersungkur’ awal,” katanya.
Kejayaan Ivan Jovic bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi inspirasi kepada atlet para muda negara bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencipta sejarah di pentas antarabangsa.
Di sebalik kejayaan tersebut, pelumba dari Tuaran, Sabah itu mengakui perjalanan ke puncak bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila dia perlu membahagikan masa antara latihan dan pelajaran.
“Saya bangga dengan diri saya kerana tidak menyangka mampu meraih tiga pingat emas dan memecahkan rekod temasya, sedangkan ini kali pertama saya beraksi di Sukan Para ASEAN,” kata Ivan.
“Selama ini saya berlatih sambil belajar kerana saya akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.
Kejayaan itu turut didorong sokongan padu kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjalanan karier sukan para.
“Saya sangat bersyukur dengan kehadiran kedua ibu bapa saya yang membimbing saya dalam saingan para ini.
Tanpa mereka, saya bukan siapa-siapa,” katanya sebelum meluahkan, “I love you, mom.”