Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan denda sejumlah AS$12,500 (RM50,962) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kesalahan membabitkan perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.
Dipetik daripada The Kathmandu Post yang menyebut hukuman pertama -- hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC pada Isnin lalu -- mendapati FAM menyebabkan kelewatan memulakan separuh masa pertama perlawanan selama satu minit dan 20 saat dan kelewatan memulakan separuh masa kedua selama satu minit dan 30 saat.
Advertisement
Badan induk bola sepak kebangsaan itu didapati melanggar Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC dan diarahkan membayar denda USD2,500 (RM10,192), manakala Persatuan Bolasepak Nepal (ANFA) turut didenda kerana kesalahan yang sama.
Denda kedua pula setinggi USD10,000 (RM40,770) berkenaan kegagalan FAM dalam memastikan Pemain Terbaik Perlawanan, Faisal Halim, menghadiri sidang media pasca perlawanan -- secara tidak langsung melanggar Artikel 4.3.8 (dibaca bersama Artikel 31.3) Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027.
Atas kejadian itu, Faisal turut didenda secara idividu sebanyak RM40,770 kerana melanggar Artikel 31.3 Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 walaupun sudah diminta oleh AFC dan kesemua denda dikenakan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Tiga hari lalu, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa Harimau Malaya dan memberikan kemenangan 3-0 kepada Cape Verde, Singapura dan Palestin.