Skip to main content

Sukan Lain

Ada pecah rekod, ada jadi sandaran dunia. MBPJ teruskan nadi peranan utama perkasa sektor sukan

MBPJ

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan komuniti, pembangunan atlet muda, pemerkasaan infrastruktur, sokongan atlet menyeluruh dan penganjuran acara sukan berskala besar sepanjang tahun 2025. 

Di bawah kepimpinan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon, strategi yang digerakkan bukan sekadar tertumpu kepada pembinaan fasiliti, tetapi merangkumi pembangunan komuniti, integrasi kemudahan serta sokongan kepada atlet berprestasi tinggi.

Melalui pelbagai kejohanan, program pembangunan bakat dan penyediaan kemudahan sukan, MBPJ berjaya memperkukuh kedudukannya sebagai antara pihak berkuasa tempatan yang paling aktif dalam mempromosikan budaya sukan dan gaya hidup sihat di Malaysia.

Pada tahun 2025, MBPJ memberi tumpuan kepada beberapa objektif utama:

  • Meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
  • Mengenal pasti dan membangunkan bakat atlet muda.
  • Menjadikan Petaling Jaya sebagai hab penganjuran acara sukan.
  • Memperkasa penggunaan kemudahan sukan awam.
  • Menyokong persiapan penganjuran acara sukan bertaraf negeri dan kebangsaan. 

Bercerita tentang beberapa penganjuran bersifat sosial, MBPJ sering mengelola kejohanan atau pertandingan yang menarik minat rakyat setempat serta membuka peluang buat atlet tempatan terus mengekalkan momentum menuju temasya besar.

Acara paling berprestij anjuran MBPJ pada tahun 2025 ialah PJ Half Marathon 2025, yang memasuki edisi ke-35. Acara ini berlangsung pada 17 Ogos 2025 di Laman MBPJ dan berjaya menarik kira-kira 8,000 peserta termasuk 250 pelari antarabangsa dari 34 buah negara.

Kategori yang dipertandingkan termasuk:

  • 30 kilometer (km)
  • 21km(Half Marathon)
  • 10km
  • 5km Fun Run
  • 1km Costume Fun Run

Kejohanan ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah turut membantu merancakkan sektor pelancongan sukan dan ekonomi tempatan melalui penyertaan antarabangsa. 

Pada Ogos 2025, MBPJ dengan kerjasama Persatuan Badminton India Malaysia (MIBA) menganjurkan kejohanan badminton berpasukan buat kali pertama sempena Piala Datuk Bandar Petaling Jaya 2025. Kejohanan ini melibatkan 32 pasukan dan hampir 200 pemain muda serta amatur dari seluruh negara. 

MBPJ turut menganjurkan Kejohanan Hoki PBT 9's sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025. Kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki MBPJ ini melibatkan kategori:

  • Bawah 15 Tahun Lelaki (B-15)
  • Bawah 15 Tahun Wanita
  • Terbuka Wanita
  • PBT Lelaki

Penganjuran kejohanan ini menunjukkan komitmen MBPJ dalam memperkukuh pembangunan sukan hoki di peringkat akar umbi dan pihak berkuasa tempatan. 

Pada Mei 2025, MBPJ mengadakan sidang media bagi pelancaran Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-MILO kali ke-35. Kejohanan ini merupakan antara pertandingan tenis remaja paling lama dianjurkan di negara ini dan menjadi platform penting melahirkan pemain tenis muda berpotensi. 

MBPJ turut menganjurkan Program Selangor Trail Endurance Series di Kota Damansara. Program ini mempromosikan sukan lasak dan rekreasi alam semula jadi serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif. 

Pada tahun 2025, MBPJ menganjurkan beberapa kejohanan tenpin boling termasuk:

  • Kejohanan Tenpin Boling MBPJ bersama media.
  • Kejohanan Tenpin Boling Piala Datuk Bandar Petaling Jaya bersama rakan strategik dan pihak berkuasa tempatan.

Program ini membantu memperluaskan penyertaan masyarakat dalam sukan boling dan mengeratkan hubungan antara agensi serta komuniti.

Bagaimana pula dengan pemantapan kemudahan? Badan pentadbir daerah itu tidak henti melaburkan dana bagi menyelenggara atau menambah baik segala infrastruktur supaya padan dengan aspek bertaraf negara dan antarabangsa.

Sepanjang 2025, MBPJ terus memanfaatkan kemudahan sukan sedia ada seperti:

  • Stadium Hoki MBPJ
  • Kompleks Sukan MBPJ
  • Gelanggang badminton
  • Gelanggang tenis
  • Padang bola sepak
  • Kemudahan futsal
  • Trek joging dan taman rekreasi

Tahukah anda? MBPJ bersama Selangor FC telah berganding bahu mengubah Stadium MBPJ menjadi venue bola sepak bagi gergasi Liga Super itu dan mampu digunakan untuk acara olahraga dan balapan. The Red Giants yang bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) mematuhi piawaian yang ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyediakan venue pertandingan penuh menakjubkan.  

Kemudahan ini digunakan untuk penganjuran kejohanan, latihan atlet serta aktiviti riadah masyarakat setempat.

Apa yang paling membanggakan, terdapat inisiatif paling terbaik tatkala menyatakan sokongan penuh buat atlet bertaraf antarabangsa. MBPJ turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pelari menara negara, Soh Wai Ching, dengan tajaan bernilai RM75,000. Wai Ching yang sudah memenangi beberapa gelaran dan kejuaraan terus mendapat suntikan berharga meskipun sudah menjangkaui usia, namun tidak putus mengangkat Jalur Gemilang di persada dunia. MBPJ komited membantu dirinya yang tidak putus memecahkan rekod larian menara sejak 2022. 

Antara kemenangan pemegang ranking nombor satu dunia itu:

  • Pendakian Mesin Tangga Terjauh selama 1 jam dengan jarak 1.788 kilometer (km) mendapat pengiktirafan Guinness World Record.
  • Terus mendominasi larian Menara Kuala Lumpur sebagai penguasaan di tempat sendiri.
  • Juara Towerruning 2024 di Taiwan.
  • Penaklukan Menara Exchange dengan pengiktirafan Malaysia Books of Record (MBOR).
  • Anak Asia pertama menjuarai larian menara ikonik Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York sejak ia mula dianjurkan pada 1978

Tahun 2025 juga menyaksikan MBPJ meningkatkan persediaan bagi menjadi antara lokasi utama penganjuran acara sempena temasya sukan negeri dan kebangsaan termasuk persiapan fasiliti yang bakal digunakan untuk pertandingan seperti hoki, tenis dan skuasy. Langkah ini menunjukkan komitmen MBPJ dalam menyokong pembangunan sukan berprestasi tinggi di Selangor. Menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, sudah pasti MBPJ memainkan peranan besar selaku tuan rumah negeri untuk menjadikan kejohanan dwitahunan itu kelihatan gah dan berprestij. 

Secara keseluruhannya, tahun 2025 merupakan tahun yang aktif bagi MBPJ dalam bidang sukan. Melalui banyak penglibatan, serta pelbagai aktiviti komuniti, MBPJ berjaya memperkukuh budaya sukan dalam kalangan masyarakat Petaling Jaya. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan penyertaan rakyat dalam aktiviti fizikal, malah membantu pembangunan atlet muda, memperkasakan kemudahan sukan awam dan mengangkat imej Petaling Jaya sebagai bandar raya sukan yang progresif. 

Anda mungkin berminat dengan

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

[Le Mai.com] NIKE Sports Bottle Squeeze Cold Water Bottle Big Mouth Bottle 2.0 22 OZ/650mL N000042

[Le Mai.com] NIKE Sports Bottle Squeeze Cold Water Bottle Big Mouth Bottle 2.0 22 OZ/650mL N000042

adidas Unisex X Speedportal Messi.1 FG Outdoor Boot Football Shoe (GW8387) Sport Planet 55-03

adidas Unisex X Speedportal Messi.1 FG Outdoor Boot Football Shoe (GW8387) Sport Planet 55-03

JDT Vneck Blood Abstract

JDT Vneck Blood Abstract

Must Watch Video