Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), tidak melihat undian ‘maut’ dalam pusingan akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sebagai penghalang untuk terus melakar sejarah di pentas tertinggi Asia.
Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, percaya skuad Harimau Selatan itu berupaya memberikan saingan sengit meskipun bakal berdepan laluan sukar bermula di peringkat suku akhir.
Advertisement
Dalam majlis undian di Ibu Pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini, JDT diundi untuk berdepan juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli, atau pasukan gergasi Qatar, Al-Duhail, bagi penentuan ke separuh akhir pertengahan bulan depan.
"Kami akan mengambil satu langkah demi satu langkah," kata Edwards kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Pasukan yang akan kami jumpa adalah ikon besar bola sepak di Asia, kami kini sebaris dengan pasukan gergasi bola sepak Asia dan kami amat berbangga berada di sini untuk mewakili Johor dan Malaysia.
"Kerana siapa sahaja menyangka pasukan dari Malaysia akan berada di tahap ini?
"Untuk melakukannya, kami memiliki pasukan yang hebat untuk dihimpunkan, struktur yang baik dan pemimpin yang hebat."