Bukan sekadar membawa nama Malaysia, empat atlet negara kini menggalas tanggungjawab lebih besar apabila diberi peluang mewakili benua Asia ke Piala Dunia Sport Diving di Perancis, 28 hingga 29 November ini.
Penyertaan itu cukup bermakna kerana buat julung kalinya kontinjen Malaysia akan beraksi dalam kejohanan berkenaan, sekali gus membuka ruang untuk sukan sport diving negara mendapat pengiktirafan lebih luas di pentas antarabangsa.
Menariknya, keempat-empat atlet yang dipilih terdiri daripada anggota badan beruniform, iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Mereka telah menjalani latihan intensif selama tiga minggu sebagai persiapan menghadapi cabaran di Perancis, dengan tumpuan diberikan kepada aspek kecergasan, teknik dan kesiapsiagaan pertandingan.
Keyakinan turut hadir apabila terdapat atlet yang pernah menaiki podium dalam kejohanan terdahulu, sekali gus menjadi petanda bahawa skuad negara memiliki potensi untuk mencabar kedudukan terbaik.
Ketua jurulatih negara, Tae Peng Siong, meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat daripada tiga acara yang bakal disertai.
Menurutnya, persiapan rapi dilaksanakan setiap hari sejak tiga minggu lalu, termasuk kawalan pemakanan dan diet bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik.
“Kami mahu memberikan persembahan terbaik dalam penyertaan sulung ini dan tahun ini kami bersedia untuk membawa pulang satu atau dua pingat,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran pertama di pentas Piala Dunia, peluang ini menjadi platform penting untuk mengukur kemampuan atlet negara dalam disiplin sport diving.
Kini, misi empat atlet negara bukan sekadar mengutip pengalaman, sebaliknya membuktikan bahawa Malaysia mampu memberi saingan dalam sukan yang masih belum begitu dikenali dalam kalangan peminat tempatan.