Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, mengesahkan status pusingan akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi masih belum dimuktamadkan biarpun tarikh telah ditetapkan menerusi undian rasmi di Ibu Pejabat AFC hari ini.
Menurut Windsor, perjalanan kejohanan itu kekal bergantung kepada perkembangan konflik di Asia Barat, yang sebelum ini menyebabkan perlawanan pusingan 16 Zon Barat terpaksa ditangguhkan.
Advertisement
"Kita semua menunggu perperangan ini berakhir kerana selagi perperangan ini belum berakhir, kami perlu sentiasa mencari tarikh baru untuk menghabiskan juga jadual perlawanan di Jeddah," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kita harapkan perang di Asia Barat ini akan berakhir secepat mungkin agar perlawanan bola sepak dapat diteruskan.
"Saya rasa Jeddah adalah satu-satunya tempat yang penerbangan masih boleh dilakukan tetapi itu bukan masalah utama.
"Kita perlu bermain pada satu jangka waktu di mana perang sudah tamat, itu paling penting."
Dalam majlis undian suku akhir ACLE petang tadi, wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT), diundi untuk bertemu pemenang di antara pasukan gergasi Arab Saudi, Al-Ahli, dan wakil Qatar, Al-Duhail, bagi penentuan ke separuh akhir pertengahan bulan depan.