Ketua jurulatih Buriram United, Mario Silva, menghembuskan nafas lega melihat penjaga golnya, Neil Etheridge, berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva, sekali gus menafikan kemenangan tuan rumah malam tadi.
Harimau Selatan gagal meraih tiga mata penuh di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1.
Saat pengadil permainan menghadiahkan penalti buat skuad kendalian Xisco Munoz, lensa kamera tertumpu ke arah Mario Silva yang menggelengkan kepalanya menyerahkan nasib pasukan kepada bekas penjaga gol Birmingham City itu.
"Tindakan menyelamat itu memang hebat tetapi saya juga ingin mengiktiraf barisan kejurulatihan penjaga gol kami, memandangkan kami telah membuat persediaan khusus untuk situasi ini.
FT | 🇲🇾 Johor Darul Ta'zim FC 1️⃣-1️⃣ Buriram United 🇹🇭
This fixture always delivers! A thriller in Johor comes to an end! #ACLElite | #JDTvBUR pic.twitter.com/HpMkZ12RCP— #ACLElite | #ACLTwo (@TheAFCCL) September 15, 2026
"Kami tahu sudut mana yang mungkin akan dipilih oleh penyepak (Bergson).
"Seperti yang saya sebutkan semalam, kami membuat persediaan rapi dan menganalisis pihak lawan secara terperinci dan ini salah satu daripada perincian tersebut.
"Kadangkala pemain mungkin mengubah sudut sepakan pada saat-saat akhir tetapi hari ini dia tidak berbuat demikian,” katanya selepas perlawanan.