“Saya tidak tahu-menahu.
Itu reaksi ringkas Pengerusi Kuching City, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, ketika diminta mengulas spekulasi perpindahan beramai-ramai pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) ke kelab berkenaan bagi menghadapi musim depan.
Khabar angin itu menyaksikan beberapa nama besar dikaitkan dengan naib juara Piala Malaysia itu, termasuk Nazmi Faiz Mansor, Heberty Fernandes serta Park Jun-heong.
Turut mencuri tumpuan ialah Safawi Rasid yang sebelum ini beraksi secara pinjaman bersama Kuala Lumpur (KL) City dari Harimau Selatan musim lalu.
Bagaimanapun, Fazzrudin tidak mengesahkan atau menafikan sebarang perbincangan melibatkan pemain-pemain tersebut, sebaliknya memilih untuk mengunci mulut mengenai isu berkenaan.
Berdasarkan kemas kini di laman transfermarkt, kontrak Nazmi dan pemain kelahiran Korea Selatan itu akan berakhir pada penghujung bulan ini.
Sementara itu, Heberty menerusi laporan Stadium Astro sebelum ini secara rasminya telah mengucapkan selamat tinggal kepada juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu minggu lalu.
"Saya juga terkejut dengan nama-nama yang dikaitkan.
"Pada minggu hadapan setelah jurulatih, Aidil Sharin Sahak, pulang daripada bercuti, kami akan memulakan langkah persiapan musim hadapan.
"Sudah tentu, kami akan menandatangani pemain baru memandangkan jadual perlawanan yang padat.
"Siapakah pemain-pemain itu? Kami akan berbincang dengan Aidil dahulu.
"Kami juga mahu mengekalkan falsafah kewangan kami.
"Jika permintaan daripada pemain sedia ada tidak menepati falsafah kewangan kami, kami mungkin menghadapi cabaran besar.
"Kami harus tegas dalam falsafah kami supaya kelab kekal seimbang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.