Chef selebriti terkemuka negara, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, meluahkan rasa bangga selepas cucunya, Isabella Saffiya O'Luanaigh, menjadi salah seorang pemain yang membarisi senarai akhir 22 pemain bagi skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B-17) negara dalam kempen Piala Srikandi Merdeka 2026 yang berlangsung di Kudus, Indonesia.
Menerusi perkongsian di media sosial Threads, Chef Wan turut mengucapkan tahniah kepada Isabella dan pasukan apabila berjaya menewaskan Arab Saudi 9-0 dalam aksi terakhir kumpulan di Super Soccer Arena, Kudus, baru-baru ini.
Isabella merupakan hasil perkahwinan pertama Serina Redzuawan bersama Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, dengan seorang lagi cahaya mata, Tristan Tareef O’luanaigh.
Untuk rekod, Isabella,14, merupakan pemain tengah skuad berkenaan dengan nombor jersi 11.
Kemenangan besar itu membolehkan Malaysia mengatasi Hong Kong menerusi kelebihan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan empat mata.
Lebih membanggakan, skuad bimbingan Fairuz Montana Zainal Abidin itu beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-21 selepas Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah.
Kejayaan itu membolehkan skuad muda negara mara ke separuh akhir dan memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan momentum cemerlang dalam usaha memburu kejayaan di kejohanan berkenaan.