Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman terhadap dua gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor, selain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menerima nasib sama.
Atas beberapa kesalahan, dua kelab bersama badan induk bola sepak Malaysia itu didenda melibatkan kejohanan di bawah anjuran AFC.
Advertisement
FAM harus membayar RM7,788 berikutan memulakan perlawanan separuh masa kedua dengan lambat dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Laos sehingga menyebabkan kelewatan selama dua minit dan 30 saat pada 14 Oktober lalu di Bukit Jalil.
The Red Giants turut mengalami isu sama dan diperintah membayar RM5,195 tatkala menentang Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), bulan lalu.
Harimau Selatan pula dikenakan denda sebanyak RM20,783 selepas gagal menyediakan 'Clean Stadium' di tapak latihan rasmi bagi perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang kelab Jepun, FC Machida Zelvia, 30 September lalu.
Ketiga-tiga mereka dikehendaki menyelesaikan hukuman tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.