Sekelip mata momen kegembiraan pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan 6-0 ke atas Singapura hampir menghadiahkan tiket perlawanan akhir Piala ASEAN FIFA, namun bertukar malang apabila Indonesia melakar kebangkitan penuh dramatik untuk menewaskan Bangladesh 9-2 Khamis lalu.
Dihujani rasa kecewa, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, menggesa supaya peminat tidak mengecam sebaliknya terus memberikan sokongan buat Malaysia apabila masih memiliki satu lagi perlawanan penting.
Skuad kendalian jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua sambil berkongsi mata dengan Indonesia dengan jumlah jaringan menjadi perbezaan, dan skuad negara tidak dibolosi gol setakat ini.
"Bagi saya, tak perlu kecewa sebagai penyokong tanah air.
"Tak perlulah kecam kami atau apa. Kami dah berikan yang terbaik dalam saingan tiga perlawanan ini tanpa bolos.
"Kita lagi baik daripada pasukan-pasukan yang ada negara di sini, dan mungkin pasukan ini akan lebih kuat lagi pada masa akan datang, insya-Allah," katanya menurut akhbar tempatan.
Terdahulu, penyerang naturalisasi baharu Harimau Malaya, Bergson Da Silva, turut kecewa dengan keputusan yang diketahui minit akhir sambil mempersoal masa tambahan yang diberikan kepada Indonesia.
Pasukan kebangsaan akan berdepan naib juara Kumpulan B, Vietnam, di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Isnin ini.