Skip to main content

Sukan SEA

Zaidatul tidak sertai 200, 4x100m

zaidatul-husniah-zulkifli.jpg
Ratu trek negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, membuat keputusan drastik menarik diri daripada menyertai acara 200 dan 4x100 meter dalam Sukan SEA Filipina 2019 walaupun menjadi sandaran untuk menggegar temasya itu selepas menamatkan program latihan selama enam bulan di Amerika Syarikat (AS).

Zaidatul Husniah yang dianggap pelari wanita terbaik negara ketika ini sepatutnya beraksi dalam 100, 200 dan 4x100m wanita.

Namun, dia mencipta sensasi apabila mengambil keputusan menarik diri dalam dua acara berkenaan. 

Keputusan itu dibuat atas faktor peribadi di sebalik dakwaan pelari kelahiran Pulau Pinang itu berdepan masalah persefahaman dengan kuartet negara.

"Itu kehendak saya sendiri, tiada pengaruh daripada mana-mana pihak, termasuk jurulatih, M. Balamurugan.  

"Kalau diikutkan, acara 200m berlangsung pada hari pertama (temasya), jadi saya mahu lebih fokus kepada 100m," katanya ketika ditemui di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini. 

Keputusan itu bermakna, Zaidatul, yang kembali dari AS, Khamis lalu, akan beraksi dalam 100m selain cuba membentuk kuartet baru dalam 4x100m campuran.

Balamurugan ketika diminta mengulas situasi itu berkata: "Sebelum dia mengambil keputusan itu, kami ada berbincang pagi tadi. 

"Terdapat perubahan (jadual acara dalam) temasya kali apabila 100m akan diadakan pada hari kedua manakala 200m pada hari pertama.

"Saya akan membantunya mencapai sasaran."

Advertisement

Must Watch Video