Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Yew Fai kagum dengan atlet Jepun

lim-yew-fai.jpg
Ketua jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai, kagum dengan disiplin dan karakter atlet Jepun selepas menjalani latihan selama 10 hari di Negara Matahari Terbit itu. 

Skuad wushu negara mula berlatih bersama skuad kebangsaan Jepun sejak 27 April lalu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Shanghai, China, Oktober depan dan Sukan SEA Filipina, sebulan kemudian.

"Perkara paling penting yang saya mahu atlet kami mencontohi atlet Jepun adalah sikap mereka.

"Atlet Jepun mempunyai sikap yang amat baik.

"Mereka amat menghormati jurulatih dan atlet kita sepatutnya mengambil iktibar daripada perkara itu.," katanya.

Walaupun dua bekas jaguh negara, Loh Jack Chang dan Diana Bong, sudahpun mengumumkan persaraan, Yew Fai menjelaskan program latihan skuadnya tetap diperincikan ke tahap tertinggi bagi menghadapi dua tugasan utama itu.

"Program kami yang seterusnya adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan SEA.

"Kami akan kembali ke Jepun, September depan untuk latihan pusat.

"Kami akan berada di sana selama sebulan sebelum bergerak ke Shanghai," tambahnya.

Sebagai rekod, skuad wushu negara merangkul enam pingat emas, lima perak dan tiga gangsa dalam temasya di Kuala lumpur, dua tahun lalu.

Advertisement

Must Watch Video