Skip to main content

Sukan Lain

Yan Yee enggan berputus asa

yanyee5118.jpg
Tiada istilah putus asa dalam diri penerjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee, untuk terus mengharumkan nama Malaysia meskipun bergelut dengan tekanan apabila disahkan positif ujian doping ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Dalam satu temubual hari ini, Yan Yee berkata dia terpaksa berkurung selama tiga bulan akibat tekanan kerana tidak dapat menerima hakikat yang menimpanya itu.

"Saya tidak dapat menerima hakikat itu sebab saya berlatih begitu lama. Saya berkurung dalam bilik dan menangis, memikirkan kenapa ia terjadi kepada saya," katanya.

Selepas diminta mengulas bagaimana dia mendapat semangat semula selepas mengharungi tempoh getir itu, Yan Yee berkata: "Saya harus berterima kasih kepada nenek yang selalu bercakap dengan saya. 

"Saya banyak membaca dan ia membantu saya. Saya fikir apa yang berlaku terhadap saya tiada apa-apa. Pada awalnya saya berasakan 'dunia sudah berakhir'. Saya tidak berputus asa kerana masih banyak pingat yang mahu dicapai."

Yan Yee disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang diuji di makmal Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di New Delhi pada 11 Oktober lalu turut positif.

Dia berjaya meraih dua emas, iaitu dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam temasya KL2017.

Keputusan doping tersebut menyebabkan pingatnya dalam temasya sukan dwi-tahunan itu dilucutkan. 

Selain Yan Yee, dua lagi atlet terbabit dengan hukuman itu adalah perenang Thailand, Benjaporn Sriphanomthorn, dan Nurisan Loseng (pencak silat), juga dari negara itu.

Advertisement

Must Watch Video