Skip to main content

Sukan Lain

YAKEB ingin kaji tawaran Megat

yakeb-azlan-iskandar.jpg
Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Malaysia (YAKEB) terharu dengan keprihatinan sumbangan yang dihulurkan Datuk Seri Megat Shariman Zaharuddin, namun masih memerlukan perbincangan yang lebih teliti mengenai hasrat ahli perniagaan itu untuk duduk dalam ahli lembaga pengarah YAKEB.

Megat sedia menghulurkan bantuan kewangan dalam lingkungan RM300,000 sehingga RM500,000 ke dalam kantung YAKEB yang agak kritikal ketika ini.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, beliau menyatakan hasrat untuk berada dalam jemaah lembaga pengarah YAKEB.

Pengerusi YAKEB, Azlan Iskandar, berbelah bahagi mengenai hasrat Megat itu tetapi sedia membawa perkara itu untuk dibincangkan ketika mesyuarat lembaga pengarah yang akan diadakan dua minggu lagi.

YAKEB ketika ini mempunyai lapan orang ahli dalam barisan lembaga pengarah dan pelantikan hanya boleh diputuskan oleh Kementerian Belia dan Sukan disamping mendapat persetujuan kesemua lembaga pengarah.

"Sudah tentu kami menganggap ia sesuatu yang sangat bermakna.

"Lagipun beliau berjanji untuk mendapatkan dana yang lebih baik.

"Begitupun, keputusannya bukan terletak di tangan kami," ujar Azlan. 

Bantuan sehingga RM500,000 oleh Megat ternyata melegakan pengurusan pihak YAKEB yang kini terpaksa menampung keperluan perubatan ahlinya yang sudah mencecah sehingga 2470 orang bekas atlet.

YAKEB sebelum ini menerima sebanyak RM3 juta pada 2017 daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan wang itu sepatutnya hanya cukup untuk mereka bertahan selama setahun, namun menerusi pelan perbelanjaan yang lebih cermat, mereka masih meneruskan operasi sehingga September 2018.

"Dengan pengurusan wang yang sangat berjimat cermat, kami berjaya bertahan sehingga sekarang. 

"Kami fokus sepenuhnya kepada bil hospital atlet, peruntukan itu disalurkan sepenuhnya untuk atlet," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video