Skip to main content

Sukan Lain

YAKEB disaran lebih berdikari

steven-sim-chee-keong.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan, sebaliknya menjana pendapatan sendiri.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata YAKEB telah diminta untuk fokus kepada beberapa perkara utama, antaranya meluaskan perkhidmatan kebajikan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan pendidikan, bukan hanya memberi bantuan kewangan kepada bekas atlet.

"Saya juga mahu lihat YAKEB mempunyai pengurusan dan perancangan yang lebih lestari, tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan tetapi boleh menjana dana sendiri bagi perancangan jangka panjang.

"Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan beberapa perancangan yang telah dibuat oleh YAKEB untuk memastikan kelestarian badan ini.

"Fokus lain ialah mempromosikan YAKEB supaya lebih ramai bekas atlet mendaftar sebagai ahli untuk membolehkan mereka menggunakan kemudahan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada bekas-bekas atlet negara," katanya kepada media selepas sesi lawatan di pejabat yayasan berkenaan, hari ini. 

Steven turut memuji kedudukan kewangan YAKEB yang dilihat semakin stabil dan pulih dengan adanya beberapa inisiatif yang diwujudkan.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata pihaknya telah merangka beberapa perancangan untuk menjana dan menguatkan kewangan badan kebajikan bekas atlet itu. 

Antara inisiatif terdekat ialah pelancaran dan penjualan jongkong emas seberat 0.5 gram (g) dalam penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2019, Oktober ini.

Sebagai pengenalan, jongkong emas itu akan memaparkan tiga atlet legenda kebangsaan, iaitu bekas jaguh bina badan, Datuk Abdul Malek Noor; olahragawati kebangsaan, Datuk M. Rajamani, dan jaguh berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan.

Noorul Ariffin berkata selain penjualan jongkong emas, Kerajaan Negeri Selangor juga ada menawarkan tanah di kawasan Bukit Cerakah seluas 22 hektar (56 ekar) dan pihaknya akan meninjau kawasan itu minggu depan. 

"Kami akan buat tinjauan minggu depan bagi melihat potensi kawasan itu. Kami rancang untuk menjadikan tempat itu sebagai kem motivasi seperti konsep Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan mungkin pada masa akan datang, ia akan dibangunkan menjadi Taman Tema pula," katanya. 

Antara lain, Noorul Ariffin mendedahkan bahawa Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How, juga telah berjanji akan membantu YAKEB daripada segi dana kewangan. 

Mengulas mengenai Projek Tanaman Tembikai Emas oleh Koperasi Atlet Malaysia Berhad (KAMB) di tanah seluas kira-kira 20 hektar di Tanjung Tualang, Perak,Noorul Ariffin berkata Kerajaan Negeri Perak telah membuat siasatan terhadap tanah itu dan masih menunggu KAMB untuk berbincang.

"Tiada maklum balas daripada KAMB mengenai projek itu sejak lima tahun lepas. Jadi, sekarang Kerajaan Negeri Perak mahu tumpu kepada YAKEB untuk menjaga kebajikan bekas atlet negara dan negeri Perak. Langkah ini boleh mengurangkan beban YAKEB," katanya. 

-- BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video