Skip to main content

Sukan Lain

Woods gembira kembali jadi sebahagian kisah kemenangan

tiger-woods.jpg
Tiger Woods gembira kembali menjadi "sebahagian daripada kisah utama" tatkala dia mendambakan rentetan kejuaran utama menjelang Kejohanan Golf PGA Amerika Syarikat (AS). 

Woods menamatkan penantian 11 tahun untuk melakar gelaran utama ke-15 peribadinya dalam salah satu kejohanan terkemuka apabila menawan Augusta, bulan lalu. 

Dia diangkat selaku pilihan penerima taruh untuk memenangi Kejohanan PGA di Bethpage Black, Long Island, minggu ini, dan permainannya dijangka akan terus meningkat.

"Adalah menarik untuk menjadi sebahagian daripada kisah ini. Kisah saya sudah pun 20 tahun berlanjutan, kini ia melepasi 20 tahun," kata Woods dalam sidang akhbar, semalam. 

"Sebahagian besar pemain yang berjaya dalam siri jelajah ini, kejayaan mereka tidak boleh diukur sepertimana pemain 'ragbi' NFL apabila nama mereka akan tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran selepas sembilan tahun. 

"Dalam golf, kalau anda hanya mengharungi tempoh sembilan tahun maka pemain golf itu tidak melakukannya dengan baik. Pencapaian pemain golf diukur selepas beberapa dekad.

"Arnold Palmer beraksi dalam 50 kejohanan Masters berturut-turut. Ia dilakukan dengan cara yang berbeza dan oleh kerana sifat semulajadi sukan ini, kami dapat bertahan lebih lama dan masih relevan.

"Perkara yang menarik mengenai kejohanan ini ialah ketika Jack (Nicklaus) bermain dalam Kejohanan PGA terakhirnya pada 2000, saya beraksi di sampingnya sementara dia pula sempat beraksi dalam penampilan terakhir Gene Sarazen dalam saingan PGA. 

"Kerjaya golf boleh mencecah 60, 70 tahun, itulah keistimewaannya. "

Dengan 15 kejuaraan utama, Woods memiliki koleksi 81 kemenangan Jelajah PGA dan hanya Nicklaus (18 kejuaraan utama) serta Sam Snead (82 gelaran Jelajah PGA) mengatasi pencapaiannya itu. 

Hanya sekali Woods berupaya meraih rentetan kejuaraan selepas menawan The Masters, iaitu ketika melakukannya di Bethpage dengan memenangi Terbuka AS 2002.

Atlet berusia 43 tahun itu tidak beraksi secara kompetitif sejak memenangi The Masters sebagai langkah untuk menenangkan mindanya.

"Beberapa minggu lalu, saya mahu beraksi tetapi saya belum cukup bersedia untuk melakukannya," katanya. "Tetapi tahap fizikal saya berada dalam keadaan yang sangat baik.

"Sesi latihan saya berjalan dengan baik. Saya mengadakan latihan agak lewat hari, tanpa perlu memakai baju sejuk, jadi ini satu langkah yang sedikit berbeza. Saya teruja untuk kembali ke lapangan."

Woods akan memulakan kempen di samping juara bertahan, Brooks Koepka, dan juara The Open, Francesco Molinari.

 

Advertisement

Must Watch Video