Skip to main content

Tenis

Wimbledon: Muller raikan kejayaan terbesar singkirkan Nadal

gilles-muller-110717.jpg
Gilles Muller melabel kemenangan epiknya dalam sejarah Grand Slam Wimbledon ke atas Rafael Nadal, malam tadi, sebagai kejayaan terbesar sepanjang 16 tahun kariernya. 

Muller menewaskan juara Wimbledon sebanyak dua kali itu 6-3, 6-4, 3-6, 4-6, 15-13 dalam tempoh hampir lima jam di Court No.1 untuk memastikan kemenangan pertamanya ke atas Nadal sejak pertemuan mereka di All England Club pada 2005. 

Pemain berusia 34 tahun dari Luxembourg itu tidak pernah memenangi gelaran ATP sebelum melakukannya dua kali pada tahun ini, dan dia tidak sabar untuk berdepan Marin Cilic dalam suku akhir pertamanya. 

Pencapaian bersejarah itu tidak akan dilupakan oleh pemain kidal berkenaan. 

"Ia adalah salah satu kemenangan terhebat, kalau bukan yang terhebat," katanya. 

"Terutama selepas apa yang saya lalui pada 2013. Saya ditimpa kecederaan serius, saya tidak pasti dapat beraksi semula. 

"Sejak itu, saya telah mengharungi banyak perlawanan hebat. Ini merupakan kejayaan terbesar sejak saya kembali, khususnya di peringkat Grand Slam dan berdepan dengan seorang pemain yang kembali mendominasi tenis tahun ini. 

"Ya, saya akan katakan sudah tentu ia adalah kemenangan terbesar."

Muller yang mendahului dua set, diheret untuk kembali bersaing sehingga set penentuan, di mana pemain di tangga ke-26 dunia itu memanfaatkan peluang yang lebih baik dengan menyempurnakan mata kelimanya -- sejam setengah selepas memungut mata pertamanya. 

Tambahnya: "Saya berasakan, pada akhirnya saya membalas servisnya dengan baik. 

"Saya ketinggalan sebelum bangkit 0-30, 15-30, 30-30. Sepanjang permainan, saya sentiasa menghadapinya. Saya memiliki beberapa peluang dalam mata akhir. 

"Saya berasakan telah melakukan dengan betul dan hanya perlu bersabar. 

"Ia tidak mudah. Namun, sekali lagi apabila mengenangkan mata-mata penentuan itu, saya tidak membuat sebarang kesilapan. 

"Beberapa servisnya cukup kencang. Ketika dia melakukan servis kedua dalam mata penentuan, saya cuba membalasnya dengan kuat. Saya gagal tetapi berpendapat saya telah melakukannya dengan betul. 

"Bukan mudah untuk terus yakin. Pada akhirnya, saya tidak melalui sebarang kekesalan. 

"Saya beraksi baik. Kalau saya kalah, pasti ia sukar untuk ditelan."

Advertisement

Must Watch Video