Skip to main content

Tenis

Williams elak aib di depan Meghan

serena-williams.jpg
Serena Williams berdepan situasi getir sebelum mengatasi pemain remaja, Kaka Juvan, dalam pusingan kedua Kejohanan Tenis Wimbledon, awal pagi tadi.

Dengan disaksikan rakan dirajanya, Duchess of Sussex, Meghan Markle, Williams mengerah keringat sebelum mencatat kemenangan 2-6, 6-2, 6-4 di Gelanggang No. 1.

Jaguh Amerika Syarikat itu beraksi jauh daripada tahap sebenar ketika berdepan lawan berusia 18 tahun dari Slovenia itu, namun memaparkan memaparkan semangat juang tinggi untuk bangkit daripada kekalahan dalam set pertama untuk melangkah ke pusingan ketiga.

Juvan, yang juga juara kategori beregu remaja wanita di Kelab All England dua tahun lalu, memenangi tiga perlawanan di peringkat kelayakan untuk ke kejohanan utama buat kali pertama.

Dia kemudian menewaskan Kristyna Pliskova dalam perlawanan pembukaan.

Williams bergelut pada awal permainan dan kerap memerhatikan permukaan gelanggang, mungkin disebabkan kebimbangannya mengenai permukaan rumput yang semakin hilang memasuki hari keempat perlawanan melambatkan pergerakan bola.

Namun, selepas dia menemui rentak, dia tidak dapat dihalang lagi untuk meraih kemenangan.

"Saya fikir dia bermain dengan baik," katanya mengenai Juvan.

"Dia membalas pukulan saya dengan baik. Saya tidak dapat melakukan sebarang servis yang hebat.

"Saya tidak dapat melakukan ace ke atasnya sepanjang perlawanan kerana dia amat bagus dalam pukulan balas.

"Dia beraksi baik dan saya pula bermula perlahan," katanya.

Dengan tekanan yang memuncak, Williams berasa lega selepas mengatasi cabaran itu.

"Ia memerlukan yang terbaik daripada saya. Saya menggemari tekanan seperti ini," katanya kepada BBC Sport.

"Saya beraksi baik ketika sedang tertekan, jadi saya seorang pejuang dan tidak pernah mengaku kalah."

Ditanya mengenai gandingannya dengan Andy Murray dalam acara beregu, Williams menambah: "Saya amat teruja untuk bergandingan dengan ikon British seperti Andy.

"Ia akan menjadi sesuatu yang amat hebat.

"Sejujurnya, saya berasa amat berbesar hati untuk berkongsi gelanggang dengannya.

"Mungkin saya dapat mempelajari satu atau dua perkara. Saya sentiasa terbuka mengenainya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video