Skip to main content

Sukan Lain

Wee Wern intai 50 terbaik dunia

low-wee-wern.jpg
Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, menganggap tidak mustahil untuk menyasarkan kelompok 50 terbaik dunia tahun ini selepas rankingnya melonjak naik -- daripada kedudukan ke-254 ke 70 dalam tempoh masa sebulan sahaja selepas berehat selama hampir dua tahun akibat kecederaan.

Kejohanan Kebangsaan 2018 bulan lalu merupakan aksi pertamanya selepas berehat 20 bulan akibat kecederaan lutut ACL dengan menduduki ranking ke-254 dunia ketika itu.

Namun, Wee Wern mula menunjukkan belang dengan menawan gelaran Terbuka Malaysia, Terbuka Tasmania dan terbaru, Terbuka Australia, minggu lalu untuk melonjakkan kedudukannya ke tempat ke-70 dunia.

Selepas dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PSA untuk edisi Julai, bekas pemain nombor lima dunia itu enggan melengahkan masa untuk mengakhiri kempen 2018 dalam kelompok 50 terbaik dunia.

"Jelas sekali dalam saingan PSA, paling utama adalah kedudukan ranking. 

"Bagus buat saya meraih kedudukan ke-70 dunia dalam masa sebulan sahaja dan saya menjangkakan kedudukan itu akan naik lagi berikutan kejayaan dalam Terbuka Australia. 

"Saya harap kedudukan ranking ini akan membolehkan saya menyertai kejohanan lebih besar," katanya. 

Tiada lagi rasa sakit menyelubunginya dengan hasratnya untuk fokus kepada aspek ketahanan mental sahaja dalam mengharungi saingan sebenar Sukan Asia Indonesia bagi acara berpasukan.

"Skuad berpasukan akan diketuai Datuk Nicol David, Aifa Azman dan S. Sivasangari. 

"Saya berpendapat kami mempunyai barisan pemain yang cukup baik. Ancaman sebenar kami (dalam Sukan Asia) nanti merupakan Hong Kong dan India. 

"Saya harap kami dapat mempamerkan aksi terbaik dan memenangi pingat emas," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video