Skip to main content

Sukan Lain

Walk with Al-Sultan Abdullah: King of Sports

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sultan.jpg
Malaysia bakal meraikan warisan sukan dan semangat perpaduan negara menerusi acara “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports”, satu inisiatif diraja berteraskan gaya hidup sihat yang akan dipimpin oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, bertempat di Stadium Merdeka pada 5 November 2025.

Acara ini dianjurkan oleh ShekhinahPR, agensi terkemuka dalam perhubungan awam sukan dan penjenamaan, dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA). Ia bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dalam satu acara yang meraikan nilai kesihatan, komuniti, dan semangat kebangsaan.

Acara berjalan simbolik ini akan dihadiri oleh kira-kira 150 tetamu jemputan, terdiri daripada legenda dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Buat pertama kali dalam sejarah sukan negara, acara ini bakal menghimpunkan bekas atlet kebangsaan daripada pelbagai bidang sukan di bawah satu bumbung Stadium Merdeka, lokasi bersejarah yang melambangkan permulaan era kejohanan sukan antarabangsa tanah air.


Antara yang dijangka hadir termasuk bekas ratu terjun negara Datuk Leong Mun Yee yang lima kali mewakili Malaysia di temasya Olimpik iaitu Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020; bekas kapten skuad hoki lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang turut beraksi di tiga temasya Olimpik, Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000; bekas pelari pecut negara Shanti Govindasamy, pemegang rekod kebangsaan 100 meter wanita selama 31 tahun; serta bekas kapten ragbi kebangsaan dan pasukan Selangor era 1970-an dan 1980-an, Jagjit Singh.


Turut dijangka hadir adalah dua legenda bola sepak tanah air, Datuk Santokh Singh dan bekas kapten pasukan negara, Datuk Soh Chin Ann serta legenda sukan badminton negara, Datuk Rashid Sidek, yang pernah mewakili Malaysia di tiga temasya Olimpik di Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000 serta memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki di Olimpik Atlanta 1996.

Acara ini disokong oleh Bata, jenama yang dikenali ramai telah menemani rakyat Malaysia selama 95 tahun dan terus menyerlah melalui pelbagai inisiatif komuniti serta kesejahteraan yang berimpak tinggi lalu mencerminkan komitmen berterusan jenama ini dalam menyatukan masyarakat menerusi penganjuran acara bermakna yang meraikan gaya hidup sihat, semangat kebersamaan dan warisan kebangsaan. Selain itu, FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika, dan Prince Court Medical Centre turut bersama menjayakan acara ini, selaras dengan matlamat memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh warisan serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Stadium Merdeka dipilih kerana nilai sejarahnya yang mendalam sebagai tapak keramat yang menyaksikan laungan kemerdekaan negara pada tahun 1957 sekali gus melambangkan ketabahan serta kebanggaan Malaysia. Ia menjadi lokasi paling sesuai untuk menghimpunkan wira-wira sukan tanah air dalam satu semangat kebersamaan.


Objektif utama acara ini ialah meraikan warisan sukan negara dengan mengiktiraf jasa atlet yang telah membentuk sejarah Malaysia, menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki yang inklusif dan mudah disertai, serta memperkukuh hubungan antara institusi diraja bersama legenda sukan negara.

“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports bukan sekadar acara, tetapi satu inisiatif yang meraikan perpaduan, kesihatan dan warisan melalui aktiviti yang paling sederhana,” kata Datuk Christopher Raj, Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR.

Beliau menambah bahawa acara ini akan mengukuhkan peranan sukan sebagai platform perpaduan dan kesejahteraan, di mana rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan warisan serta nilai bersama.

Keberangkatan Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah ke acara ini menzahirkan pengiktirafan berterusan terhadap peranan sukan sebagai tonggak identiti, kebanggaan dan perpaduan negara.

“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” dijangka menjadi satu acara yang memperingati sejarah negara, semangat kesukanan dan perpaduan nasional sekali gus mengingatkan kita bahawa langkah paling bermakna ialah langkah yang diambil bersama-sama.

Advertisement

Must Watch Video