BERBASIKAL
UAE sedia tawar kontrak kepada Beasley
Ketua jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley, belum ditawarkan kontrak lanjutan selepas membantu Malaysia meraih 11 pingat emas bagi acara trek Sukan SEA Kuala Lumpur
2017 ketika Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang agresif mencari pengendali terbaik dunia.
Beasley adalah antara individu penting yang melahirkan juara dunia keirin, Azizulhasni Awang, selain beberapa pelumba muda yang semakin mencipta nama.
Beliau sudah menolak beberapa tawaran lumayan, termasuk dari Jepun, ketika masih menunggu lanjutan kontrak bersama Malaysia.
Iklan
Apa yang dibimbangi, beberapa negara seperti UAE sedang membina velodrom kelas satu dan sibuk mencari pengendali terbaik untuk membangunkan pelumba mereka.
"Saya telah berkhidmat untuk skuad berbasikal Malaysia selama 11 tahun. Saya tidak dapat melihat diri saya menjadi jurulatih kepada lawan Azizulhasni," kata Beasley.
"Masih banyak lagi perkara yang mahu dilakukan bagi meningkatkan lagi kualiti atlet Malaysia. Kami telah membina satu legasi tetapi ia masih belum disempurnakan lagi.
Kontrak Beasley akan tamat 31 Disember depan.
Sejak berkhidmat bersama Malaysia sejak 2006, beliau berjaya membentuk pelumba handalan seperti Josiah Ng, Muhammad Rizal Tisin, Azizulhasni, Fatehah Mustapa dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Pengendali kelahiran Australia ini akan pulang ke Melbourne, Selasa ini bersama Azizulhasni untuk membuat persiapan menghadapi siri Piala Dunia.
"Saya meletakkan harapan kepada beberapa atlet untuk beraksi dalam siri Piala Dunia yang seterusnya," tambah Beasley.
Must-Watch Video