Skip to main content

Sukan Lain

TSG raih tempat kedua peringkat pertama Jelajah Thailand

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

irwandie-lasek.jpg
Pelumba pasukan berbasikal benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Irwandy Lasek, beraksi cemerlang apabila menamatkan peringkat pertama saingan Kejohanan Jelajah Lebuh Raya Thailand di tempat kedua, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan pelumba kelahiran Kemaman itu untuk menyarung jersi ungu selaku pelumba terbaik ASEAN dalam peringkat pertama.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, berkata kejayaan itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada pasukan TSG dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Sabtu ini. 

"Irwandy dipilih untuk menggantikan Metkel (Eyob) dua hari sebelum jelajah berkenaan bermula disebabkan masalah visa dan ia sesuatu yang amat kami kesali.

"Bagaimanapun, dia (Irwandy) ternyata tidak mensia-siakan peluang dan membalas kepercayaan yang diberi dengan menghadiahkan kedudukan tempat kedua kepada TSG," katanya ketika dihubungi Bernama.

Nasiruddin berkata lebih 20 pasukan dari seluruh dunia berentap dalam Jelajah Thailand itu dan ia menjadikan saingan kali ini agak sengit, terutama daripada pasukan ternama seperti Vini Fantini, Itali; St.George, Australia; Illuminate, Amerika Syarikat dan Vino Astana, Kazakhstan.

Namun, beliau yakin TSG mampu mencapai sasaran ditetapkan dengan meraih kemenangan podium dalam dua peringkat perlumbaan serta kedudukan tiga pasukan teratas keseluruhan.

"Kami masih ada baki lima peringkat yang perlu dilalui dan cabaran sangat besar kerana laluannya bergunung-ganang.

"Misalnya, peringkat ketiga kita perlu menamatkan pendakian keseluruhan 4,000 meter yang akan berlangsung Rabu ini," katanya.

Selain Irwandy, lima lagi pelumba TSG dalam perlumbaan Jelajah Thailand itu ialah Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Umardi Rosdi, Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat dan Maral Erdene.

-- BERNAMA

 

Advertisement

Must Watch Video