BERBASIKAL
TSG buka tirai 2024 sertai Tour of Sharjah
Gergasi sukan berbasikal Asia, Terengganu Cycling Team (TSG), membuka lembaran musim 2024 dengan menyertai perlumbaan Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 26 hingga 31 Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood, berkata kejohanan selama lima hari itu dijangka berdepan saingan lebih sukar memandangkan perlumbaan berstatus 2.2 hors berkenaan turut mendapat penyertaan dari beberapa pasukan elit berstatus Pro Benua.
Menurutnya, penyertaan dari beberapa pasukan baru ditubuhkan juga tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan terdapat dalam kalangan pasukan itu turut dibarisi oleh beberapa pelumba profesional ternama yang sering mewarnai kalendar siri jelajah perlumbaan badan induk berbasikal dunia (UCI) tersebut.
Iklan
"Kami menjangkakan akan berdepan saingan yang lebih sengit dalam perlumbaan kali ini, di mana maklumat awal diterima terdapat beberapa pasukan mahupun pelumba berstatus Pro Benua yang juga akan hadir.
"Sebab itulah kami perlu ambil perhatian untuk percaturan taktikal pasukan TSG. Setakat ini kita tidak banyak mengetahui kekuatan sesuatu pasukan itu, namun kita mengetahui kemampuan pasukan itu sendiri berdasarkan kekuatan dan pengalaman dimiliki pelumba-pelumbanya," katanya
Beliau menjelaskan, senarai akhir pelumba ke Tour of Sharjah masih dalam penilaian, di mana percaturan akhir akan ditentukan oleh bahagian kejurulatihan yang diketuai oleh Mohd Saiful Anuar Aziz selaku ketua jurulatih TSG.
TSG hadir selaku pasukan berstatus juara berganda musim lalu setelah mengekalkan kejuaraan Jelajah Asia dan Pasukan Benua Terbaik Dunia.
Sementara itu, kapten pasukan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, meletakkan harapan tinggi buat pengalaman pelumba import baru TSG musim ini, Merhawi Kudus, yang pernah beraksi bersama pasukan profesional berstatus Pro Benua, iaitu Astana Pro Team dan Team Dimension Data, bagi mengekang saingan dari pelumba-pelumba ternama di UAE nanti.
"Musim ini sekali lagi merupakan tanggungjawab yang besar untuk saya pikul sebagai kapten pasukan. Walaupun percaturan taktikal dirangka oleh barisan jurulatih, namun dari segi perlaksanaan mahupun komunikasi di dalam pasukan, ia terletak di atas bahu saya.
"Dalam perlumbaan di UAE nanti, saya melihat saingan yang lebih sengit dengan penyertaan pelumba-pelumba profesional berstatus Pro Benua, jadi dengan kehadiran Merhawi Kudus sebagai pelumba import baru TSG yang pernah beraksi dengan pasukan berstatus Pro Benua, ia dilihat memberi kelebihan buat TSG musim ini.
"Begitu juga dengan pengalaman barisan pelumba-pelumba yang masih bersama TSG musim ini, di mana ada di antara mereka pernah beraksi dalam Tour of Sharjah secara tidak langsung mampu untuk memberi cabaran di sana nanti," ujarnya.
Terdahulu dalam satu majlis pelancaran pasukan di Kuala Terengganu, TSG mengumumkan tiga pelumba baru pasukan itu, iaitu pelumba muda kebangsaan, Nur Aiman Rosli, yang telah menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dalam Le Tour de Langkawi (LTdL 2023) yang lalu, selain dua pelumba import baru, iaitu Andreas Miltiadis dan Merhawi Kudus Ghebremedhin, bagi melengkapkan keseluruhan 16 pelumba TSG bagi tahun ini.
--Sinar Harian
Must-Watch Video