Skip to main content

Sukan Asia

Triatlon: MOM kekal hantar empat atlet ke Indonesia

irene.jpg
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal dengan pendirian menghantar empat atlet triatlon ke Sukan Asia Indonesia walaupun Persatuan Triatlon Malaysia (TRIAM) sedang disiasat Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atas dakwaan gagal menghantar laporan tahunan.

TRIAM diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan laporan tahunan kepada PJS atau berdepan hukuman penggantungan susulan masalah urus tadbir badan induk itu.

Bagaimanapun, MOM kekal dengan pendirian menghantar empat atlet sukan itu ke Jakarta, termasuk pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur, Irene Chong.

"Walaupun ketika ini TRIAM memiliki masalah pentadbiran, MOM akan tetap menghantar atlet bertanding ke Sukan Asia," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Atlet triatlon juga diminta meneruskan latihan seperti biasa untuk mencabar tiga pingat emas yang ditawarkan dalam Sukan Asia.

Dalam perkembangan sama, Nazifuddin mengesahkan kontinjen negara kini seramai 421 atlet selepas N. Shoorendran (ekuestrian) dan Che Ku Nur Aida Che Ku Rahim (lawan pedang) digugurkan.

Advertisement

Must Watch Video