Skip to main content

Hoki

TNB, THT miliki kelebihan tersendiri rebut Piala Sumbangsih

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tht-tnb-lhm-2022.jpg
Tiga pakar pukulan sudut penalti menjadi senjata Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam misi merampas Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila berdepan Terengganu Hockey Team (THT), malam esok. 

Selain Shahril Saabah yang sedang berusaha merebut semula tempat dalam skuad kebangsaan, Muhammad Aminuddin Zain dan ketua pasukan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, turut berkemampuan untuk melunaskan strategi. 

"Apabila memiliki kelebihan daripada segi pakar pukulan sudut penalti, kami dapat mengelirukan pihak lawan untuk menjaringkan gol. 

"Saya mungkin akan bertukar-tukar peranan dengan Syed Syafiq atau Aminuddin. 

"THT sebuah pasukan yang kuat sebab sudah beberapa kali melakar nama dalam LHM. 

"Jadi kami tidak boleh ambil mudah dan perlu titik beratkan pukulan sudut penalti dan serangan balas mereka," kata Shahril.





Di kem THT pula, Roslan Jamaluddin, sudah berwaspada dengan ancaman TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, selepas melabel skuad kendalian Nor Saiful Zaini itu antara yang terbaik dalam melibatkan serangan balas.

Dalam soal serangan, Roslan kekal membisu mengenai peranan tonggak utama, Faizal Saari, yang kini berperanan sebagai pemain tengah skuad negara kendalian Arul Selvaraj.

"Saya yakin dengan kemampuan Faizal dan Muhammad Arif (Syafie Ishak), mereka juga mempunyai pukulan sudut penalti yang bagus. 

"Walaupun tanpa pemain import, Jang Jong Hyun, Faizal dan Ariff mampu menjaringkan pukulan terus. Saya kena tengok di mana mereka lebih sesuai untuk membuat pukulan," katanya. 

Sehubungan itu, pengalaman dua pemain baru THT, Marhan Jalil serta Sukri Mutalib, ditagih untuk mematahkan serangan lawan.

"Selepas seminggu dua berlatih bersama THT, kami sudah dapat mencipta keserasian kerana kebanyakan pemain kebangsaan ada di sana. 

"Sedikit sebanyak kami tahu kelemahan dan kekuatan TNB. Kami akan gunakannya sebaik mungkin untuk mengalahkan mereka," kata Marhan.
 

Advertisement

Must Watch Video