Pemilik pasukan TKKR Racing, Bobbie Farid Shamsuddin, tidak menafikan kemunculan XOX bersama Perak FC sejak musim lalu menyumbang kepada beberapa keputusan dalam pasukan itu.

Ia merujuk kepada keputusan TKKR Racing menarik diri dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi 2024 walaupun pasukan ini mencipta sensasi selepas muncul juara dalam kategori ASB1000, tahun lalu.

"DNA kami dalam XOX ialah sentiasa membina sesuatu daripada tiada apa-apa.

"Selama ini XOX telah membantu perjalanan perniagaan kami ini dengan baik tanpa malangnya tahun ini kami terlibat dalam bola sepak, jadi sudah tentu ia akan memberi kesan.

"TKKR sepatutnya tidak perlukan bantuan daripada XOX lagi," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Bagaimanapun, dalam saingan peringkat domestik dan kebangsaan, TKKR masih bersaing untuk memelihara nama yang masih gah dalam masa yang sama tidak menolak andai bakal berlaku kemunculan semula di pentas ARRC 2025.

Beberapa keadaan semasa merujuk kepada tiada sokongan pihak lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan karporat terus meletakkan TKKR Racing dalam situasi sulit daripada segi kewangan walaupun sudah tujuh tahun mencipta nama.

"Peminat sukan permotoran tahu TKKR adalah pejuang. Kami tarik diri daripada (kancah) kejuaraan dunia dan kembali ke ARRC sebagai Asia.




"Kalau tidak menyertai saingan pada tahun ini, mungkin tahun 2025 kami buat kemunculan semula.

"Kejuaraan Asia bukan senang kerana kami perlu mengalahkan pasukan pengeluar dari Jepun, Thailand dan Indonesia. Mereka terdiri daripada Honda dan Yamaha.

"Kami pula hanya syarikat telekomunikasi dan tanpa sokongan daripada pasukan pengeluar sekalipun, kami masih mampu tewaskan mereka," katanya lagi.