OLIMPIK TOKYO
Tinju batal hasrat buru slot Sukan Olimpik
Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mengesahkan tidak akan memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi akan melakukan rombakan atlet berdasarkan prestasi mereka.
Sebelum ini, persatuan itu merancang untuk menghantar wakil negara, Jemis Wong, yang beraksi dalam kategori berat 57kg ke kejohanan kelayakan Sukan Olimpik di Wuhan, China, bulan depan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membatalkan kejohanan tersebut disebabkan penularan wabak koronavirus.
Iklan
Ia memberi peluang kepada badan induk itu untuk menilai semula peninju negara sebelum mencapai kata sepakat untuk tidak menghantar peninju ke mana-mana kelayakan Sukan Olimpik.
"Apabila persatuan memikirkan prestasi mereka dalam Sukan SEA, tidak perlulah kami menghantar mereka (untuk kejohanan kelayakan Sukan Olimpik).
"Selepas Sukan SEA, kami mahu membuat persiapan dan merombak barisan peninju Malaysia," kata Timbalan Presiden PTAM, Mohd Iruan Zulkifli, hari ini.
Namun, peninju negara belum boleh bernafas lega apabila mereka mungkin disingkirkan daripada skuad kebangsaan dalam rombakan yang bakal dilakukan PTAM.
"Peninju yang gagal mencapai tahap yang diharapkan akan tetap diberi peluang selama enam bulan tetapi kalau masih berterusan, mereka akan digugurkan.
"Kami juga sedang memantau atlet-atlet lain (untuk diserapkan dalam kem kebangsaan) demi masa depan sukan tinju di Malaysia."
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video